LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis mengesahkan insiden kren gantri runtuh di kilang kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan, Manjung, petang semalam, tiada unsur jenayah.

Dalam kejadian itu, dua lelaki tempatan maut manakala seorang lagi parah akibat dihempap kren.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kes kematian dua lelaki berasal dari Sabah itu diklasifkasi sebagai kematian mengejut (SDR) sementara bedah siasat dijalankan hari ini di Hospital Seri Manjung.

Katanya, berdasarkan keterangan daripada saksi berumur 36 tahun yang juga rakan sekerja mangsa, kedua-dua mangsa maut sedang melakukan kerja pemotongan kren di tempat pelupusan terbabit kira-kira jam 4.45 petang semalam.

"Saksi mendakwa secara tiba-tiba bahagian atas hujung kren terbalik dan jatuh lalu menghempap dua mangsa yang mengakibatkan mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

"Terdapat empat orang pekerja termasuk saksi berada di situ iaitu dua mangsa maut masing-masing berusia 29 dan 33 tahun; serta mangsa parah berumur 34 tahun yang juga berasal dari Sabah mengalai kecederaan parah iaitu patah kaki kanan.

"Mangsa maut berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba kira-kira 10.30 malam tadi dan dihantar ke Hospital Seri Manjung bagi dibedah siasat untuk mengetahui punca kematian. Mangsa parah turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kerian di Mes Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di sini, hari ini.

Majlis serah terima tugas itu menyaksikan Superintendan Juna Yusoff dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kerian yang baharu menggantikan Superintendan Mazuki Mat yang bersara wajib pada 11 Oktober lalu.

Dalam kejadian kren gantri runtuh itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Rajim Hamski, 33; dan Maiyden Asibin, 29, dengan mereka berdua serta seorang mangsa yang parah, ketiga-tiganya berasal dari Sabah.

Mohd Yusri berkata lagi, susulan insiden, kerja pemotongan kren di tempat pelupusan itu dihentikan sementara sehingga siasatan polis selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 1:40 PM