Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak akan meminta, merayu mahupun melobi sekiranya nama beliau tidak dicalonkan di parlimen berkenaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Annuar berkata, beliau berpegang dengan prinsip iaitu seseorang calon tidak boleh meminta-minta.

"Kalau parti pilih saya untuk galas tanggungjawab, saya akan terima. Namun saya minta tidak usahlah kita membuat spekulasi kerana proses masih berjalan.

"Kita serah kepada parti untuk menentukannya dan siapa yang akan menerima watikah malam ini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Annuar dijangka tidak dicalonkan di Parlimen Ketereh untuk PRU-15 dipercayai ada kaitan dengan kelantangannya yang mengkritik kepimpinan parti.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ketua Bahagian Umno Ketereh berkata, terdapat 1,000 kemungkinan dalam politik, namun beliau tidak mahu mendahului parti.

"Kalau orang tak bagi itu adalah proses semua orang yang kena lalui, takkan kita nak jadi ahli parlimen selama-lamanya," katanya.

Pada masa sama, ketika ditanya kenyataan penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang turut dikatakan tidak dicalonkan serta menutup bilik gerakan BN, Annuar meminta tidak membuat tindakan terburu-buru.

"Sebelum parti buat keputusan malam ini, saya nasihat supaya tenang. Jika mahu jadi calon juga, berundinglah.

"Malam tadi saya ada berhubung dengan Shahidan, namun setakat ini saya menganggap apa yang tersebar itu adalah khabar angin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 12:26 PM