KHAIRUL Khar Yahya ketika sidang media dalam sidang media pada program Lelongan Awam Kenderaan Sita tahun 2022 di Dewan Melati, Seksyen 7. FOTO ihsan JPJ SELANGOR
KHAIRUL Khar Yahya ketika sidang media dalam sidang media pada program Lelongan Awam Kenderaan Sita tahun 2022 di Dewan Melati, Seksyen 7. FOTO ihsan JPJ SELANGOR
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sebanyak 192 kenderaan sita termasuk kenderaan klon dilelong oleh Jabiatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sekali gus berjaya mengutip sejumlah RM898,438 sepanjang tahun ini.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kutipan berkenan dibuat dalam tiga siri Lelongan Awam Kenderaan Sita.

"Pada 31 Mac lalu, 41 kenderaan sita dilelong dan berjaya mengutip RM114,460, manakala sebanyak 19 kenderaan sita dilelong pada 19 Julai lalu sekali gus mengutip sejumlah RM256,100.

"Sementara dalam siri ketiga semalam, sebanyak 135 kenderaan sita terdiri 97 motosikal, 17 kereta, kenderaan pelbagai guna (MPV), jip, bas, van, lori kargo am dan semi treler. Daripada jumlah itu, sebanyak 132 berjaya dilelong dengan kutipan sebanyak RM527,878," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Lelongan Awam Kenderaan Sita tahun 2022 di Dewan Melati, Seksyen 7, di sini.

Khairil Khar berkata, sebanyak 135 kenderaan sita yang dilelong semalam terdiri daripada kenderaan berdaftar dan kenderaan tidak berdaftar.

"Sebanyak 115 kenderaan sita berdaftar dalam lelongan awam itu, di mana 104 daripada boleh dilesenkan, manakala 11 buah tidak boleh dilesenkan (scrap).

"Bagi kenderaan tidak berdaftar (klon), sebanyak 20 buah berjaya dilelong," katanya sambil memaklumkan harga lelongan tertinggi adalah RM58,000 dan jumlah terendah RM93," katanya.

Katanya, ini menjadikan jumlah kutipan lelongan awam keseluruhan sejak 2019 sehingga semalam sebanyak RM5.4 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 12:11 PM