FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
BERNAMA

Melaka: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka berjaya mengutip RM86,610 hasil lelongan pelbagai kenderaan yang disita dalam lelongan awam bagi siri pertama tahun ini.

Pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff berkata, lelongan itu melibatkan 21 kenderaan boleh dilesenkan dan lapan kenderaan skrap iaitu tidak boleh dilesenkan.

"Sebanyak 27 kenderaan berjaya dilelong iaitu 18 kereta dan sembilan motosikal manakala dua lagi kenderaan iaitu kontena dan kereta jenis Proton Iswara tidak dibida.

"Bidaan paling tinggi membabitkan kereta Honda Stream dengan harga RM13,500 dan paling rendah ialah motor skrap jenis Honda C100," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Firdaus berkata, lelongan itu berikutan pemilik berdaftar tidak menuntut kenderaan selepas pemberitahuan tamat iaitu selepas tiga bulan pertama dan tambahan 30 hari surat peringatan.

Katanya, selain itu, ruangan tahanan sita amat terhad dan tidak boleh menampung kenderaan yang bertambah dan kesemua kenderaan dilelong itu juga telah mendapat perintah lucut hak dari mahkamah.

Sementara itu, beliau berkata, sehingga Jun lalu, terdapat 136 kenderaan pelbagai jenis yang disita dalam tahanan kenderaan sita JPJ Melaka.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti kerap berlaku kenderaan disita ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada LKM, memandu di bawah umur, kesalahan teknikal termasuk gangguan enjin dan casis serta tiada perlindungan insurans," katanya.

- tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 12:48 PM