KENDERAAN yang akan dilelong pada Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Perak, Ipoh.
KENDERAAN yang akan dilelong pada Majlis Lelongan Awam Kenderaan Sita di JPJ Perak, Ipoh.
Balqis Jazimah Zahari


MAJLIS Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, semalam berjaya mengutip hasil berjumlah RM1.32 juta.

Hasil berkenaan tidak termasuk kutipan buku lelong kenderaan RM19,810 yang dijual bermula 10 Mac hingga kelmarin.

Pengarah JPJ Perak, Severinus Tukah berkata, 103 daripada 105 kenderaan sita ditawarkan, dibida dan dibeli orang awam sepanjang tujuh jam lelongan berkenaan yang berlangsung di Ibu Pejabat JPJ Perak, Jalan Kompleks Sukan di sini, bermula 9 pagi.

Menurutnya, lelongan membabitkan 90 kenderaan boleh dilesenkan manakala 13 lagi tidak boleh didaftarkan (scrap).

“Keseluruhan 105 kenderaan sita dilelong hari ini (semalam) dan daripada jumlah itu hanya dua kereta tidak dijual berikutan harga ditawarkan terlalu rendah berbanding harga pasaran.

“Bidaan tertinggi adalah bagi kereta jenis Honda Integra iaitu pada harga RM35,000, manakala jualan terendah adalah semua motosikal kategori scrap iaitu RM50 setiap buah,” katanya.

Severinus berkata, keseluruhannya sebanyak 20 motosikal, 81 kereta, tiga van dan sebuah lori dilelong semalam.

“Lelongan kenderaan sita ini diadakan dua kali setahun dan ini adalah lelongan kedua selepas program pertama pada 30 April lalu,” katanya.

Proses lelongan turut dipantau pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 6:00 AM