NOH Omar. Foto Aizuddin Saad.
NOH Omar. Foto Aizuddin Saad.
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Barisan Nasional (BN) Selangor memfokuskan untuk memenangi 10 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata kebanyakan pengundi untuk kerusi itu terdiri daripada majoriti Melayu, terutamanya ditandingi calon Umno.

Sehubungan itu katanya, beliau meminta semua calon untuk kekal fokus bagi memenangi kerusi terbabit.

"Kita fokus 10 kerusi Parlimen dan bagi saya kalau dapat tujuh pun sudah cukup baik," katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau proses baik pulih sebuah rumah di Kampung Tali Air 3, Sungai Burong, di sini.

Proses baik pulih itu dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Holdings Berhad.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, beliau menyifatkan situasi kali ini ibarat 'sinar di hujung terowong buat BN Selangor, berdasarkan respon dan reaksi rakyat serta media sosial.

"Saya rasa suasana berbeza. Kalau dulu kita boleh nampak dan terasa masa itu mungkin akan berlaku keputusan agak luar biasa," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor berkata, pihak lawan khususnya Pakatan Harapan (PH) kehabisan idea apabila menggunakan modal kempen kitar semula berkaitan rasuah seperti penyamun dan perompak.

"Kalau berkaitan ekonomi, Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ) telah jawab.

"Dalam tempoh 22 bulan PH memerintah, kita lihat ada pemimpin mereka yang disiasat dan disyaki dalam rasuah serta ada didakwa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 9:48 PM