AHMAD Zahid.
AHMAD Zahid.
Mohd Anwar Patho Rohman

Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam meminta ‘perang mulut’ di antara Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dihentikan.

Serentak itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mahu kedua-dua pemimpin terbabit berhenti menuding jari, sebaliknya bersatu fikiran untuk menggembeleng tenaga dalam barisan pembangkang.

“Perang mulut antara Annuar Musa dan Wee Ka Siong harus dihentikan. Kedua-duanya hanya melontarkan pendapat peribadi dan bukan pendirian rasmi UMNO atau MCA.

“Kedua-dua parti dalam komponen BN masih memerlukan jalinan dalam wadah yang sama.

“Kecundang di banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi UMNO dan MCA suatu realiti yang harus diterima sebagai hakikat politik kebencian ditanam pihak pesaing dalam kalangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Perang mulut di antara Annuar dan Ka Siong tercetus selepas Ahli Parlimen Air Hitam itu berkata, MCA tidak akan lagi memikul tanggungjawab atas kesalahan UMNO.

Dalam wawancara bersama Sin Chew Daily baru-baru ini, Ka Siong membayangkan BN tidak lagi seperti dulu dan MCA kini akan membuat keputusan sendiri.

Susulan itu, Annuar membalas dengan mengingatkan MCA supaya tidak memperlekehkan UMNO dan berkata, era UMNO menanggung serta mengendong MCA yang sudah lumpuh sudah lama tamat.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), MCA kalah teruk dan UMNO yang menyelamatkan parti itu dengan memberikan jawatan dalam Kabinet.

Perang mulut ini mempunyai kaitan dengan keputusan buruk BN pada PRU14 hanya menang 79 kerusi yang mana MCA hanya menang satu kerusi Parlimen di Ayer Hitam, Johor berbanding UMNO menang 54 kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:01 AM