Meor Riduwan Meor Ahmad


PENGURUS syarikat pembuatan dan memproses barangan kitar semula di Sungai Petani didenda RM70,000 atau penjara 56 bulan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas kesalahan membenarkan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk dan tinggal di premis syarikat itu, awal bulan ini.

Tan See Wee, 37, hadir di hadapan Hakim Najwa Che Mat mengaku melakukan kesalahan berkenaan di Green Mark Technology Group Sdn Bhd, Lot 96 & 97, Kawasan Perindustrian Bakar Arang, Kawasan Perusahaan Ringan Bakar Arang, Sungai Petani, pada 10.35 pagi, 3 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan dia didakwa membenarkan sembilan lelaki warga Bangladesh iaitu Esrail Hossen Biswas, 43, Dalim Miah, 29, Shakil, 32, Amran Abdul Razzak, 43, Sahin, 23, Maidul Islam, 28, Md Farid, 26, Anwar, 28, dan Kawsar, 25, serta empat wanita dan seorang lelaki China iaitu, Li Shuffen, 49, Yuan Chunxia, 52, Wang Xiangmei, 49, Wang Yu Xia dan Qi Faqiang, 50, yang melakukan kesalahan Seksyen 6 (1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 untuk masuk dan tinggal di premis terbabit.

Tan didakwa melakukan kesalahan Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama, memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh sebagai majikan di syarikat itu membenarkan 14 pendatang asing tinggal di premis itu.

Najwa dalam penghakimannya mendenda tertuduh sebanyak RM5,000 atau empat bulan penjara bagi setiap PATI atau keseluruhan RM70,000 atau 56 bulan penjara.

Terdahulu, dalam mitigasi, tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob memohon denda minimum dikenakan terhadap anak guamnya.

Katanya, tertuduh seorang pengurus dengan pendapatan RM10,000 sebulan serta mempunyai tanggungan dua anak.

"Ini kesalahan pertama tertuduh dan pengakuan bersalahnya menjimatkan masa dan kos mahkamah," katanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Raya Jabatan Imigresen negeri, Adilah Ibrahim dan Hanisah Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:23 PM