SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Muar: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi isyarat jelas bakal bertanding mempertahankan kerusi parlimen Muar dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15).

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, jika diberi peluang beliau akan berkhidmat dengan lebih baik dan bertekad memperjuangkan sistem dasar yang kukuh.

"Saya akan membantu membentuk kestabilan pentadbiran, meningkatkan taraf ekonomi dan mengutamakan pendidikan, pengagihan sumber yang seimbang, membanteras korupsi dan menjamin kesejahteraan semua.

"Sejujurnya, kalau boleh putar masa sekali pun saya masih akan pilih untuk berkhidmat kepada orang Muar.

"Sebabnya, rumah adalah tempat di mana hati berada dan di Muar ia hati saya berada," katanya yang dipetik menerusi Kad Laporan Syed Saddiq di Muar sempena Malam Mesra Muo dan Pelancaran Jentera PRU-15, Parti MUDA.

Sementara itu, menerusi kad laporan berkenaan Syed Saddiq berkata, beliau berjaya mengumpul lebih RM90 juta dana bagi pembangunan orang Muar.

Katanya, sewaktu Covid-19 melanda Malaysia, beliau melakukan pelbagai inisiatif untuk memastikan kelangsungan hidup warga Muar terjaga termasuk pemberian laptop dan tablet kepada lebih 1,900 keluarga dan bantuan makanan.

"Ribuan terima kasih saya ucapkan atas mandat yang diberi sejak 2018, tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Muar memikul sehabis baik.

"Saya terhutang budi kepada warga Muar telah saya atas kepercayaan yang telah diberikan, kalau bukan kerana kamu semua, saya tidak akan mampu memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

"Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, walaupun banyak cabaran

yang dilalui lagi-lagi dari segi peruntukan dan dana sampai saya kena botakkan rambut, jual 'merchandise' dan macam-macam lagi," katanya.

Syed Saddiq yang menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) meraih sebanyak 22,341 undi pada PRU-14 dan menang dengan majoriti sebanyak 6,953.

Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang meraih 15,388 undi dan calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang kehilangan wang deposit apabila hanya meraih sebanyak 4,354 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2022 @ 11:39 AM