Dua daripada enam suspek kes samun berkumpulan berjaya diberkas polis Sibu. Foto Ihsan Polis
Dua daripada enam suspek kes samun berkumpulan berjaya diberkas polis Sibu. Foto Ihsan Polis
Norsyazwani Nasri


Sibu: Enam lelaki warga tempatan ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan aktiviti samun berkumpulan dengan menyamun seorang lelaki, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes samun berkumpulan di Jalan Khoo Peng Loong di sini, pada 11.30 malam kelmarin.

"Mangsa seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun cedera di dahi dan dada akibat dipukul menggunakan senjata tumpul oleh sekumpulan lelaki dipercayai warga tempatan.

"Mangsa mengalami kerugian telefon bimbit, dokumen peribadi dan wang tunai RM13,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu menahan enam suspek berusia antara 27 hingga 40 tahun di beberapa lokasi berasingan

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 8:01 PM