ANTARA kereta yang dirampas dalam siri serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA kereta yang dirampas dalam siri serbuan berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis menahan lima lagi ahli sindiket ah long yang dipercayai melakukan kes ugutan jenayah dan khianat, dalam beberapa serbuan di sekitar Iskandar Puteri, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan dibuat antara 9.30 pagi hingga 3 petang itu adalah hasil daripada risikan dan maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata, mereka yang ditahan adalah lima lelaki berusia antara 23 hingga 41 tahun yang bergiat aktif dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen dan melakukan ugutan jenayah serta khianat ke atas peminjam mereka.

"Ahli sindiket ini melakukan khianat ke atas peminjam mereka yang gagal membuat pembayaran semula pinjaman," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit menjalankan aktiviti meminjam wang tanpa lesen tiga tahun lalu.

Katanya, modus operandi sindiket pinjaman wang tanpa lesen itu adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di Facebook.

"Kadar pinjaman yang dibenarkan adalah dari RM500 sehingga RM30,000, manakala faedah pinjaman yang dikenakan adalah sebanyak lima peratus hingga 20 peratus dengan bayaran yang perlu dibuat adalah secara mingguan.

"Sekiranya peminjam gagal membuat bayaran, sindiket akan melakukan ugutan bagi menakutkan peminjam dan seterusnya melakukan khianat bagi menakutkan peminjam serta keluarga peminjam supaya membayar balik wang pinjaman dengan kadar faedah yang lebih tinggi," katanya.

Kamarul Zaman berkata, polis turut merampas 12 telefon bimbit pelbagai jenis, 12 kad SIM, enam kad ATM, sekeping cek bank, 46 resit transaksi bank, satu buku catatan senarai peminjam, empat kereta dan sebuah komputer.

"Dengan penangkapan seramai lima ahli kumpulan sindiket ini, kita percaya dapat menyelesaikan 18 kes simbah cat dan ugutan jenayah di daerah wilayah Iskandar dan Kluang, selain satu kes di Bercham, Ipoh, Perak," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, manakala bagi kes ugutan jenayah disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 9:48 AM