Mohd Salim (kiri) ketika meninjau  milik  pusat pemberian vaksin di Dewan Semai Bakti FELDA Serting Hilir Kompleks. FOTO ABNOR HAMIZAM
Mohd Salim (kiri) ketika meninjau milik pusat pemberian vaksin di Dewan Semai Bakti FELDA Serting Hilir Kompleks. FOTO ABNOR HAMIZAM
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Usaha khidmat masyarakat wajar dipuji apabila Institut Jantung Negara ( IJN) memastikan 2,000 peneroka dan generasi baharunya sekitar FELDA Serting Hilir Kompleks di sini, menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pegawai Perhubungan Awam IJN, Ayman Hazim Huzahim berkata, program pemberian vaksin secara bergerak itu diadakan selama dua hari bermula kelmarin di Dewan Semai Bakti FELDA, di sini.

Usaha itu turut mendapat kerjasama Pejabat Parlimen Jempol dan Pejabat Kesihatan. Daerah ( PKD ) Jempol.

"Ini adalah program kali ketiga selepas kali pertama diadakan di FELCRA Bukit Kepong, Pagoh, Johor pada Jun lalu membabitkan seramai 1,500 penerima.

"Program kedua pula diadakan di Johol, Kuala Pilah pada 23 Julai lalu membabitkan 1,000 penerima," katanya semalam.

Ayman Hazim berkata, IJN menggerakkan aset miliknya membabitkan treler dan bas yang dijadikan tempat penerima menerima suntikan vaksin.

Katanya selepas ini, beberapa kawasan di Pahang dan Perak akan menjadi lokasi seterusnya program khidmat masyarakat IJN dalam usaha mempercepatkan imuniti kelompok.

Katanya, pihaknya juga akan hadir ke lokasi sama bagi suntikan dos kedua selepas 21 hari penerima mendapat suntikan dos pertama.

Program berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif; Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Serting Datuk Shamsulkahar Mohd Deli; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJN Holdings Sdn Bhd Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim; Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin ( PPV) Jempol Dr Ismul Adham Mohd Zaini dan Setiausaha Politik Menteri Kesihatan, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin.

"Seramai 40 kakitangan IJN terdiri doktor, jururawat dan teknikal terbabit dalam program berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 7:27 PM