ANNUAR (kiri) bergambar bersama piala Anugerah Seri Angkasa pada Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di K-KOMM hari ini. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek (kanan).  FOTO Bernama.
ANNUAR (kiri) bergambar bersama piala Anugerah Seri Angkasa pada Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di K-KOMM hari ini. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) Datuk Seri Mohammad Mentek (kanan). FOTO Bernama.
BERNAMA

Putrajaya: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi masih lagi berfungsi seperti biasa meskipun kerajaan kini adalah sementara atau caretaker berikutan pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober lalu kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pasukan itu juga tidak dibubarkan kerana masalah berkaitan inflasi masih lagi menjadi tanggungjawab kerajaan ketika ini.

"Pasukan ini tidak dibubarkan sebab inflasi dan masalah itu sentiasa ada dan ia terus menjadi tanggungjawab kepada kerajaan untuk memantau walaupun dalam bentuk caretaker," katanya dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Kira Detik Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2022 di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 29 Jun lalu mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan Annuar bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Pasukan itu turut dianggotai Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Zuki pada 10 Oktober lalu dilaporkan berkata, Kabinet yang diterajui Ismail Sabri berfungsi sebagai kerajaan caretaker dengan mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen dibubarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 4:54 PM