PROGRAM Jualan Murah Keluarga Malaysia ( JMKM) sangat membantu rakyat.
PROGRAM Jualan Murah Keluarga Malaysia ( JMKM) sangat membantu rakyat.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berada di landasan tepat dalam menangani peningkatan kos sara hidup Keluarga Malaysia dan mengurus kenaikan kadar inflasi.

Kerajaan mewujudkan pasukan berkenaan pada 29 Jun lalu untuk membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Hasilnya dilihat positif apabila kenaikan harga lebih terkawal dengan jaminan rantaian bekalan makanan dan barangan yang lebih meyakinkan sekali gus membuktikan komitmen pasukan khas itu menangani inflasi.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas itu berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Pasukan itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dan turut dianggotai Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.

Selain itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali turut berada dalam pasukan khas terbabit.

Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Statistik Gunaan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya, Roza Hazli Zakaria berkata, penubuhan pasukan khas itu ketika negara berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup dan ekonomi yang tidak menentu ketika ini adalah relevan.

Menurutnya, ia juga disifatkan sebagai kesungguhan kerajaan dalam menangani inflasi biarpun umum sedia maklum ia disebabkan faktor global susulan konflik Rusia-Ukraine yang berada di luar kawalan negara.

"Pasukan khas itu usaha yang sangat baik kerajaan kerana kita sedia maklum tekanan inflasi disebabkan faktor luar contohnya kenaikan harga ayam kerana kenaikan kos input (pertanian) yang diimport dari luar.

"Pasukan itu dilihat dapat memainkan peranan mencari penyelesaian di peringkat akar umbi dan biarpun faktor luar yang menyebabkan inflasi berada di luar kawalan kita, tetapi kerajaan tetap berusaha menangani isu berkenaan," katanya.

Menurutnya, inisiatif Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) yang dilakukan juga memainkan peranan membantu rakyat dalam situasi mencabar ketika ini.

"Program jualan ini memastikan isi rumah dapat akses barang keperluan pada harga munasabah, sekali gus memastikan dapur Keluarga Malaysia sentiasa 'berasap' dan subsidi minyak masak juga sangat membantu rakyat," katanya.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berperanan menyelaras tindakan mengatasi inflasi secara menyeluruh.

Menurutnya, penubuhannya juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam memainkan peranan mengurangkan impak inflasi ke atas rakyat dan tidak berpeluk tubuh dalam situasi mencabar itu.

"Tindakan yang diambil secara menyeluruh yang membabitkan semua agensi dan Kementerian menunjukkan penubuhan pasukan yang holistik.

"Pasukan ini juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan agensi berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu ini secara menyeluruh," katanya.

Katanya, keberkesanan penubuhan pasukan itu dilihat melalui tindakan yang diambil berkaitan isu kenaikan harga ayam dan minyak masak.

"Apa yang dibincangkan (dalam mesyuarat) dan dimaklumkan kepada rakyat supaya orang ramai tahu apa tindakan diambil adalah satu langkah yang sewajarnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 November 2022 @ 7:10 AM