KETUA jabatan sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk ditahan SPRM kerana dipercayai menerima rasuah dan menyalahguna kuasa berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat kenderaan pada 2017. FOTO Ihsan SPRM

Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang ketua jabatan sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk ditahan kerana dipercayai menerima rasuah dan penyalahgunaan kuasa berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat kenderaan pada 2017.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 40-an berkenaan ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya ketika hadir memberi keterangan kira-kira 8 malam semalam.

"Perolehan empat kenderaan berjumlah lebih RM290,000 pada 2017 itu bertujuan untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi terbabit," katanya.

Katanya, berikutan itu, suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga 21 Oktober untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 3:17 PM