DUA individu termasuk penjawat awam ditahan SPRM Kedah, semalam, selepas dipercayai membuat tuntutan palsu berkaitan projek pemprosesan makanan ikan. FOTO Ihsan SPRM
DUA individu termasuk penjawat awam ditahan SPRM Kedah, semalam, selepas dipercayai membuat tuntutan palsu berkaitan projek pemprosesan makanan ikan. FOTO Ihsan SPRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang penjawat awam antara dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki membuat tuntutan palsu.

Tuntutan palsu itu dibuat berkaitan projek pemprosesan makanan ikan membabitkan sebuah pertubuhan di Kubang Pasu, Kedah berjumlah RM760,000 sedangkan projek pembekalan berkenaan tidak pernah dilaksanakan.

Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an dan 50-an itu dipercayai ditahan antara jam 2 hingga 3 petang, semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

"Suspek dipercayai berpakat dengan seorang pemilik syarikat yang juga pembekal tunggal bagi projek berkenaan berusia lingkungan 50-an yang melakukan kesalahan itu dari 2017 hingga 2020," katanya.

Susulan penahanan itu, kedua-dua suspek dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah pagi tadi.

Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor mengeluarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 15 September nanti terhadap kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Rosley Mohamad Satar ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 7:53 PM