Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Penjawat awam antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan berhubung tender pembekalan bernilai RM42 juta sebuah agensi penguat kuasa.

Semua suspek berusia 32 hingga 61 tahun itu direman selama enam hari bermula hari ini selepas mendapat perintah reman daripada Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Difahamkan semua suspek ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Menurut sumber, suspek dipercayai meminta dan membayar rasuah sebanyak lima peratus daripada nilai projek berdasarkan tuntutan kemajuan bagi memperoleh tender perkhidmatan membekal, memproses, mencetak dan mengepos saman sebuah agensi penguat kuasa bernilai RM42 juta.

"Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009," katanya.

Dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang ahli perniagaan direman selama lima hari bermula hari ini kerana dipercayai terbabit dalam pengubahan wang haram.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

Suspek berusia 43 tahun itu ditahan jam 5.20 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Suspek dipercayai memperoleh wang menerusi penjualan kereta Ferrari bernilai hampir RM1 juta yang bukan miliknya bagi membeli sebuah kereta Lamborghini bernilai RM1.8 juta untuk dirinya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 2:03 PM