TAN Sri Noh Omar. FOTO Arkib NSTP
TAN Sri Noh Omar. FOTO Arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Sebanyak lima daripada 22 Parlimen di Selangor sudah melancarkan jentera Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata kesemua 22 Parlimen dijangka selesai melancarkan jentera masing-masing dalam tempoh terdekat.

"Persediaan menghadapi PRU-15 kini sudah mencapai tahap 100 peratus.

"Saya meminta semua kawasan Parlimen supaya melancarkan jentera pilihan raya bersama dengan komponen BN supaya kebangkitan gelombang biru ini dapat dirasai," katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengagihan kerusi antara komponen BN, Noh yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor memaklumkan perkara itu diserahkan kepada keputusan tertinggi parti.

"Itu (pengagihan kerusi antara komponen) saya tak tahu dan kena tanya 'Top 5'. Bagaimanapun, kita minta mereka membuat persiapan.

"Saya dapat rasakan semangat amat berkobar-kobar menjelang PRU-15," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Kuala Selangor di Dewan Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan merangkap Bendahari BN Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 11:09 PM