GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kes harian baharu negara minggu ini melepasi angka 2,000 selama dua hari berturut-turut iaitu pada 13 Oktober (2,090) dan 14 Oktober (2,231).

Jumlah kes harian baharu untuk tempoh seminggu Rangkuman Mingguan Bernama (8 Oktober-14 Oktober) adalah sebanyak 11,561 berbanding tempoh seminggu 1 Oktober-7 Oktober iaitu 11,017 kes.

Kali terakhir angka kes harian baharu negara melepasi angka 2,000 ialah pada 30 Sept 2022 sebanyak 2,007 kes. Kes terendah untuk tempoh Rangkuman ini sebanyak 1,241 kes pada 10 Oktober.

Kumulatif kes Covid-19 Malaysia kini sebanyak 4,863,457 kes, sementara kes aktif Covid-19 menurut data KKMNOW setakat semalam (14 Oktober) sebanyak 23,557 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 22,547 (95.7 peratus) dikuarantin di rumah.

Menurut data KKMNOW yang dikemaskini pada 8.09 pagi 15 Oktober 2022, daripada 2,231 kes semalam, lima negeri mencatat kes tiga angka iaitu Selangor (754), WP Kuala Lumpur (515), Perak (205), Sabah (165) dan Negeri Sembilan (111).

Kes dua angka diaporkan di Pulau Pinang (96), Melaka (64), Sarawak (63), Kelantan (61), Johor (52), Kedah (44), WP Putrajaya (39), Pahang (39) dan Terengganu (16).

Kes satu angka di Perlis (4) dan WP Labuan (3).

Sementara itu, sebanyak 1,473 kes sembuh pesakit Covid-19 diaporkan semalam, menjadikan kumulatif kes sembuh negara setakat semalam sebanyak 4,803,485 kes.

Dengan sebanyak 4,863,457 kumulatif kes Covid-19, Malaysia kini di tangga 27 daripada 228 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Greece (5,026,494) dan Ukraine (5,177,217).

Dalam kalangan 228 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Perancis mencatat kes harian baharu tertinggi (58,695) diikuti Taiwan (48,267) dan Itali (40,576).

Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat COVID-19 tertinggi dengan 1,090,289 kes.

Senario Covid-19 Di Malaysia

Data KKMNOW setakat 8.09 pagi, hari ini menunjukkan 22,547 kes (95.7 peratus) daripada 23,557 kes aktif Covid-19 dikuarantin di rumah.

Sifar ​​​(0) di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 976 kes (4.1 peratus) di hospital; 13 kes (0.1 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 21 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 10:49 AM