GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejumlah 23,085 kes harian baharu direkod sepanjang Rangkuman Mingguan Bernama (6 Ogos-11 Ogos 2022), menurun sedikit berbanding 24,214 kes untuk tempoh yang sama (30 Julai-4 Ogos 2022).

Sepanjang tempoh Rangkuman ini, angka kes harian baharu berada di bawah paras 5,000 dengan yang tertinggi sebanyak 4,896 kes pada 10 Ogos 2022.

Semalam (11 Ogos) sebanyak 4,831 kes harian baharu dilaporkan termasuk enam kes import. Terdapat 10 kes kematian pesakit Covid-19, menjadikan jumlah kematian untuk tempoh Rangkuman ini sebanyak 57 kes. Kumulatif kes kematian akibat Covid-19 setakat ini sebanyak 36,066 kes.

Menurut data COVIDNOW Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga pukul 11:59malam 11 Ogos 2022, daripada 4,831 kes, dua buah negeri mencatat kes empat angka iaitu Selangor (1,673) dan WP Kuala Lumpur (1,012).

Sembilan negeri mencatat kes tiga angka iaitu Sabah (360), Perak (356), Negeri Sembilan (316), Pulau Pinang (210), Melaka (155), Johor (144), WP Putrajaya (141), Kedah (124) dan Sarawak (115).

Kes dua angka dilaporkan di Pahang (79), Kelantan (75), Terengganu (46) dan WP Labuan (19). Perlis mencatat kes satu angka (6).

Sementara itu, sebanyak 3,362 kes sembuh Covid-19 dilaporkan sehingga 11.59 malam 11 Ogos 2022, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,642,078 kes.

Sepanjang tempoh Rangkuman Bernama ini, KKM melaporkan lima kluster baharu iaitu satu pada 6 Ogos (kumpulan berisiko tinggi-Perak), satu pada 9 Ogos (pendidikan-Perak) dan tiga pada 10 Ogos (kumpulan berisiko tinggi 1-Pulau Pinang, pendidikan 1-WPKuala Lumpur dan tempat kerja 1-WPKuala Lumpur).

Secara keseluruhannya, sebanyak 7,051 kluster dikesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu dan setakat 11 Ogos, 26 klustermasih aktif.

Data COVIDNOW KKM setakat 11.59 malam 11 Ogos 2022 menunjukkan sebanyak 44,044 kes (96.4 peratus) dikuarantin di rumah daripada 46,081 kes aktif yang dilaporkan.

Sebanyak 33 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 1,584 kes (3.4 peratus) di hospital; 20 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 40 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 1:12 PM