Khidmat helikopter JBPM Sarawak digunakan bagi menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak. Foto Ihsan Jabatan Penerangan
Khidmat helikopter JBPM Sarawak digunakan bagi menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk di kawasan pedalaman Sarawak. Foto Ihsan Jabatan Penerangan
Norsyazwani Nasri


Kapit: Bantuan makanan kepada 140 Ketua Isi Rumah (KIR) di Bukit Mabong di sini, yang terjejas banjir, semalam dihantar dengan bantuan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pegawai Daerah Bukit Mabong, Robert Liman Deli berkata, bantuan makanan kering dan keperluan lain buat mangsa banjir daripada empat rumah panjang di sekitar hulu Sungai Mujong.

Rumah panjang itu adalah rumah James Saka Bujai (63 KIR), rumah Ejon Aji (24 KIR), rumah Umbar Bunsu (31 KIR) serta rumah Ambu Sungai Tiau (22 KIR).

"Empat rumah panjang ini adalah antara sembilan rumah panjang yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Bukit Mabong serta terputus jalan perhubungan darat.

"Dua penerbangan untuk misi bantuan ini dengan penerbangan pertama ke rumah Umbar Bunsu dan rumah Ambu Sungai Tiau, manakala penerbangan kedua untuk rumah James Saka Bujai dan rumah Ejon Aji," katanya dalam kenyataan hari ini.

Misi bantuan turut disertai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Timothy Barat; Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Kapit, Evelyne Buda dan serta Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Bukit Mabong, Ricky Endu, selain Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Selain rumah panjang terbabit, bantuan urut diagih ke rumah Jimmy Jarraw Kumbang (10 pintu) di Nanga Sekeroh, rumah Saba Duat (32 pintu) di Nanga Segerugo, rumah Nawin Salau (30 pintu) di Nanga Sungai Oyan, rumah Anting Mangai (19 pintu) di Batu Bansu dan rumah Alex Jawong (30 pintu) di Sungai Suau.

Turut menerima bantuan, kakitangan dan guru sekolah terjejas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Mujong Tengah (16 KIR), SK Nanga Tiau (9 KIR), SK Nanga Oyan (18 KIR) dan SK Oyan Tengah (14 KIR).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 2:01 PM