GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pas akan membuat keputusan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) di tiga negeri di bawah pentadbiran parti itu dalam masa terdekat.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dakwaan mengatakan Pas bersetuju untuk membubarkan Dun menerusi mesyuarat yang diadakan semalam adalah tidak benar.

"Tidak benar (pembubaran Dun di tiga negeri). Parti akan membuat keputusan berhubung perkara itu dalam masa terdekat," katanya menerusi WhatsApp.

Media sebelum ini melaporkan, Pas memutuskan tiga negeri yang dikuasainya iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu, tidak akan membubarkan Dun dalam masa terdekat.

Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.

Naib Presiden Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar pula memaklumkan sebarang keputusan mengenai pembubaran Dun akan disahkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin lalu selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023, sekali gus menjawab segala teka-teki serta spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai PRU-15.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 2:48 PM