Nor Fazlina Abdul Rahim

Bachok: PAS akan mengadakan perbincangan semula berhubung pendirian parti itu mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang ditadbir mereka.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad, berkata, perbincangan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Kalau setakat pendirian sebelum ini kita tidak akan bubar (DUN), tapi mungkin akan ada perubahan nanti. Namun parti yang akan putuskan nanti.

"Setakat yang diputuskan itu pendirian sehingga Mac dan yang terbaru akan dibincangkan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ijtimak Pondok Se-Malaysia, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung keputusan terbaru Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan tahun ini.

IDRIS menyampaikan ucapan pada Program Ijtimak Pondok Semalaysia 1444H/2022M. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
IDRIS menyampaikan ucapan pada Program Ijtimak Pondok Semalaysia 1444H/2022M. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takituddin Hassan berkata, kerajaan PAS yang menerajui Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak akan membubarkan DUN lebih awal daripada Mac tahun depan.

Sementara itu, mengulas mengenai resolusi Ijtimak Pondok Se-Malaysia antara lain yang memohon kesemua calon PAS pada PRU akan datang terdiri daripada individu yang tidak menyebarkan fahaman dan ajaran wahabi, Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, pandangan itu akan diperhalusi oleh pucuk pimpinan.

"Pandangan dan cadangan itu, kami akan bawa kepada parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 12:04 PM