MANGSA masih berada dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
MANGSA masih berada dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Hampir empat bulan selepas dikesan terdapat kandungan methamphetamine dalam badan, kanak-kanak yang menjadi mangsa 'overdose' dadah itu masih perlu mendapatkan rawatan susulan.

Ibunya, Rohaya Hassan, 36, berkata, anaknya yang berusia empat tahun itu masih perlu membuat pemeriksaan dan berjumpa beberapa doktor pakar termasuk pakar otak bagi melihat perkembangannya dan kesan akibat kandungan dadah yang 'overdose'.

Dia berkata, anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) itu sepatutnya menghadiri temu janji dengan pakar telinga pada kelmarin di Hospital Kuala Krai tapi gagal hadir disebabkan keadaan kesihatannya yang semakin teruk disebabkan menghidap kanser payu dara tahap akhir.

"Sepatutnya semalam (kelmarin) dia perlu hadir janji temu tetapi keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan dan sudah beberapa hari saya hanya terbaring dengan bergantung kepada ubat sahaja.

"Selain pakar telinga, anak saya juga perlu dirujuk kepada doktor pakar otak dan saya dimaklumkan jika masih ada kesan akibat 'overdose' dadah, dia perlu menjalani pembedahan.

"Saya berharap sangat kesan dadah itu tidak serius seperti yang dijangkakan kerana jika dia kembali dimasukkan ke wad, saya tidak yakin akan mampu menguruskannya lagi kerana keadaan kesihatan saya yang semakin lemah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Rohaya berkata, anak bongsunya itu mengalami masalah kesihatan sejak lahir dengan keadaannya yang tidak dapat bertutur normal dan masih bertatih sehingga kini.

Katanya, walaupun anaknya itu dilihat semakin pulih, ada terselit kebimbangan jika kesan daripada dadah itu kekal dan mempengaruhi perkembangan dirinya.

"Dia kini sudah mampu memanggil 'abah' kepada datuknya (bapa Rohaya) yang membesarkannya kerana kami menetap dengan ibu bapa saya di sini yang menyara hidup dengan menoreh getah sahaja.

"Saya bimbang jika apa-apa berlaku kepada saya suatu hari nanti, apa nasibnya kerana sekarang pun saya sudah semakin lemah, malah sakit yang ditanggung ini hampir setiap saat dirasakan," katanya.

Dalam kejadian pada 18 Jun lalu, kanak-kanak terbabit dari Kampung Sri Bintang, Dabong, Kuala Krai kritikal dan terpaksa dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas dikesan terdapat methamphetamine dalam badannya ketika di bawah jagaan seorang saudaranya.

Kanak-kanak itu dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selama beberapa hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah selepas hampir tiga minggu menerima rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 3:04 PM