Oleh Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang sebelum ini kritikal akibat kandungan Methamphetamine dalam badan dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa bantuan mesin oksigen.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kanak-kanak berkenaan mula menunjukkan perkembangan positif hari ini dan dapat bernafas secara normal selepas empat hari ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Paediatrik (PICU), Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

"Kanak-kanan terbabit juga akan dipindahkan ke wad biasa sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dalam masa terdekat bagi memudahkan keluarga untuk memantau dan melawatnya.

"Alhamdulillah, liputan meluas daripada pihak media berkenaan insiden yang menimpa anak kecil ini turut mendapat perhatian Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, yang mewakilkan saya untuk menyampaikan sumbangan berbentuk kewangan.

"Semoga sumbangan yang disampaikan ini dapat meringankan beban ibu mangsa yang juga penghidap barah payudara," katanya ditemui selepas menyampaikan sumbangan kewangan kepada ibu mangsa daripada Tengku Anis Tengku di HRPZ II.

Hadir sama isteri beliau yang juga Pengerusi Perkep Kontinjen Kelantan Datin Suzana Yashin.

Sementara itu, ibu mangsa yang berusia 36 tahun ketika ditemui meluahkan rasa syukur melihat perkembangan positif anaknya selain turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang diterima.

"Saya sudah boleh bercakap dengan anak malah dia juga kelihatan lebih sihat dan ceria. Jika benar anak saya dapat dipindahkan ke hospital di Kuala Krai, maka lebih mudah untuk saya menjaganya memandangkan kami tinggal di sana.

"Melihat dia mula aktif kembali membuatkan hati saya sangat lega dan berharap agar dia pulih sepenuhnya seperti sedia kala," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, kanak-kanak berkenaan dipercayai memasukkan bahan larangan itu ke dalam badan sebaik menemui dadah terbabit dalam kenderaan milik saudaranya.

Susulan itu, seorang buruh yang juga saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

Suspek yang memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah direman sehingga 26 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 2:53 PM
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun,(dua dari kanan), dan isteri, Datin Suzana Yashin, (kanan) menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang sebelum ini kritikal akibat kandungan methampethamine di HRPZ II, di sini, hari ini FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun,(dua dari kanan), dan isteri, Datin Suzana Yashin, (kanan) menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang sebelum ini kritikal akibat kandungan methampethamine di HRPZ II, di sini, hari ini FOTO SYAHERAH MUSTAFA