Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Peniaga dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) dengan dadah jenis methamphetamine dan heroin di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Kuala Krai, bulan ini.

Tertuduh, Mohd Shahrizuan Alias, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan mendedahkan mangsa kepada sesuatu yang membahayakan tubuh badan iaitu dadah berbahaya jenis methamphetamine dan heroin sehingga menyebabkan mangsa mengalami keracunan dadah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi sungai Kampung Sri Jaya, Mahligai, Dabong, Kuala Krai kira-kira 3 petang pada 18 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

LELAKI  dipenjara tiga tahun atas tuduhan melakukan kecuaian terhadap seorang kanak-kanak dengan mendedahkannya kepada dadah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
LELAKI dipenjara tiga tahun atas tuduhan melakukan kecuaian terhadap seorang kanak-kanak dengan mendedahkannya kepada dadah. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira kesalahan tertuduh yang mendedahkan mangsa kepada perkara berbahaya.

Menurutnya, tertuduh sebagai orang dewasa tidak sepatutnya cuai dengan meletakkan sesuatu yang boleh membahayakan mangsa sehingga mengalami 'drug toxicity', selain mangsa juga kanak-kanak OKU.

Sementara Mohd Shahrizuan pula memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan dia perlu menyara keluarga dan mempunyai dua anak kecil.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga tahun dari tarikh ditangkap dan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 dengan seorang penjamin selama tiga tahun, selain menjalani perintah khidmat masyarakat selama 180 jam.

Media sebelum ini melaporkan, kanak-kanak lelaki kritikal akibat terdapat kandungan dadah dalam badan dan masih menerima rawatan di hospital.

Mangsa yang tinggal di Kampung Sri Bintang, Kuala Krai dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada 5 pagi oleh ibunya untuk rawatan sebelum pihak hospital melaporkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 2:21 PM