MENGGUNAKAN fon telinga untuk berhibur dengan bunyi terlalu kuat boleh menyebabkan risiko kerosakan telinga.
MENGGUNAKAN fon telinga untuk berhibur dengan bunyi terlalu kuat boleh menyebabkan risiko kerosakan telinga.
Hafiz Ithnin

KEHADIRAN peranti pintar dalam kalangan masyarakat bukan lagi sesuatu yang baharu. Malah, jika kanak-kanak di bawah usia lima tahun sudah pandai 'mengatur cara' peranti pintar bukan juga sesuatu yang asing.

Kewujudan aplikasi hiburan seperti muzik dan permainan dalam talian kadangkala menjadikan kanak-kanak menjadi begitu ketagih. Isu ini juga bukan suatu yang baharu!

Penggunaan fon telinga juga bagi mengelakkan 'gangguan' kepada orang persekitaran kerana asyik melayan hiburan di dalam peranti pintar yang sebenarnya perlu diberi perhatian oleh ibu bapa atau penjaga.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Avisena Specialist Hospital, Dr Iqbal Farim Rizal Wong berkata, penggunaan fon telinga melebihi 90 minit setiap kali diguna sebenarnya boleh memberi kesan kepada kesihatan telinga terutama kanak-kanak.

Katanya, penggunaan fon telinga yang popular dalam kalangan pengguna seharusnya digunakan dengan cara yang betul dan tidak melebihi masa berkenaan.

"Penggunaan fon telinga secara dasarnya dapat memberi privasi kepada penggunanya dan tidak mahu mengganggu orang sekeliling.

"Namun, apabila ia digunakan dengan kerap terutama dalam jangka masa yang lama, tahap bunyi yang tinggi dan tahap kebersihan tidak diambil peduli, aksesori itu mampu memberi kesan buruk kepada kesihatan pengguna," katanya.

TIDUR menggunakan fon telinga amat tidak digalakkan.
TIDUR menggunakan fon telinga amat tidak digalakkan.

Katanya, penggunaan fon telinga yang terlalu lama boleh merosakkan urat saraf pendengaran dan sekali gus ia boleh memberi kesan kepekaan telinga yang berfungsi sebagai anggota pendengaran.

"Bunyi yang terus ke lubang telinga sebenarnya lebih berisiko untuk mendapat 'noise induced hearing loss' yang biasanya berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja di tempat bising.

"Kesannya menyebabkan saraf di dalam telinga akan rosak. Sekiranya mereka yang bekerja di tempat bising boleh mendapat kesan buruk itu, apatah lagi jika bunyi yang kuat terutamanya daripada fon telinga terus ke dalam lubang telinga yang mempunyai saraf sensitif," katanya.

Jelasnya, dalam isu kanak-kanak yang menggunakan fon telinga tanpa dipantau kekuatan bunyi dan jangka masa penggunaannya juga lebih terdedah mendapat masalah itu memandangkan saraf telinga kanak-kanak lebih sensitif.

Selain itu, Dr Iqbal berkata, penggunaan fon telinga yang berpanjangan dengan kadar bunyi yang kuat berisiko membantutkan tumbesaran mental kerana kurang berinteraksi dengan orang lain.

"Apabila kanak-kanak terlalu asyik dengan memberi tumpuan kepada peranti pintar yang digunakan termasuk menguatkan kadar bunyi mereka berpotensi untuk tidak berinteraksi dengan orang lain.

"Sebenarnya apabila kanak-kanak lebih banyak menggunakan anggota deria seperti telinga untuk berinteraksi dengan orang sekeliling, pembesaran mereka lebih baik kerana mereka dapat memahami persekitaran dengan lebih pantas," katanya.

Pakar itu turut menambah, penggunaan fon telinga yang berterusan tanpa mempedulikan tahap kebersihannya juga boleh mengundang kepada risiko jangkitan di dalam telinga memandangkan kulit lubang telinga nipis dan mudah luka justeru cenderung dijangkiti kuman.

Katanya, kekotoran atau pencemaran pada fon telinga mungkin tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan sering berada di tempat yang mungkin kotor seperti bilik air.

PEMAKAIAN fon telinga dalam kalangan kanak-kanak perlu dipantau bagi memastikan ia tidak memberi kesan buruk kepada pendengaran.
PEMAKAIAN fon telinga dalam kalangan kanak-kanak perlu dipantau bagi memastikan ia tidak memberi kesan buruk kepada pendengaran.

"Jika anda pengguna fon telinga pastikan ia dibersihkan sebelum digunakan bagi memastikan aksesori itu tidak dicemari.

"Meskipun perkara itu jarang dipraktikkan mungkin sudah tiba masanya, bagi memastikan pengguna terutama kanak-kanak tidak menggunakan fon telinga yang sudah dipakai orang lain," katanya.

Katanya, pengguna fon telinga juga boleh menyebabkan lilin atau tahi telinga menjadi mampat di dalam telinga dan ia pasti boleh menyebabkan gangguan pendengaran.

"Tahi telinga yang bersifat lembut sebenarnya boleh semakin ke dalam apabila menggunakan fon telinga dalam jangka masa yang panjang kerana sifat tahi telinga akan keluar secara semula jadi.

"Jadi, apabila lubang telinga sering disumbat, ia menjadi penghalang kepada tahi telinga untuk keluar dan berkumpul di dalam, sekali gus menyebabkan ia mampat dan mengganggu tahap pendengaran serta boleh menyebabkan kesakitan telinga," katanya.

Nasihatnya, kepada mereka yang menjadikan fon sebagai aksesori mendengar perlu menggunakan kadar bunyi yang sederhana, sekitar separuh tahap bunyi maksimum dan mampu mendengar keadaan di sekeliling mereka.

"Telinga juga memerlukan 16 jam untuk pulih daripada kerosakan sekiranya menggunakan fon telinga sepanjang malam. Jadi elakkan untuk memakainya ketika tidur," katanya.

Dr Iqbal
Dr Iqbal

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 7:00 AM