DAUD (tengah) bersama (dari kiri) Dr Asma, Lee, Mohd Azmi dan Dr Khalid pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Zunnur Al Shafiq
DAUD (tengah) bersama (dari kiri) Dr Asma, Lee, Mohd Azmi dan Dr Khalid pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Zunnur Al Shafiq
Mohd Husni Mohd Noor


“SAYA rasa terharu dan amat kerdil selepas menerima anugerah ini terutama apabila dikaitkan dengan junjungan Rasulullah S.A.W yang peribadinya jauh lebih mulia daripada saya,” kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Mohd Azmi antara empat penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M yang anugerahnya disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, beliau akan menjadikan anugerah itu sebagai motivasi untuk terus memenuhi tanggungjawabnya dalam isu kemanusiaan dan sejagat di seluruh dunia terutama yang terbaru membabitkan isu kemanusiaan di Kashmir, Pakistan dan wilayah Xinjiang, China.

“Saya akan menggerakkan tenaga saya ke situ (isu Kashmir dan Xinjiang).

“Pada masa sama, saya akan menyusun jaringan dengan pelbagai pihak di luar negara sehingga Malaysia boleh dijadikan juara dalam isu kemanusiaan dan dakwah islamiah di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mohd Azmi berkata, sebagai Presiden MAPIM, beliau dalam perancangan mewujudkan Dewan Perniagaan Ummah yang dijangka dilancarkan Disember ini.

Beliau berkata, Dewan Perniagaan Ummah akan menggerakkan umat Islam di negara ini supaya menjadi masyarakat berdikari, sekali gus tidak lagi bergantung kepada derma dan bantuan.

“Sekarang ini kita banyak ‘terjun’ ke dalam pertelingkahan politik dan meninggalkan kekuatan ekonomi yang kita ada.

“Kita sudah mengenal pasti bidang ekonomi akan dibawa dalam Dewan Perniagaan Ummah itu termasuk perhotelan, pelancongan dan makanan serta minuman,” katanya.

Selain Mohd Azmi, tiga penerima lain Anugerah Maulidur Rasul yang lain adalah Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim; ahli akademik, Prof Datuk Dr Asma Ismail dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi dan sijil penghargaan.

Pakar perundangan syariah, Datuk Daud Muhammad dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul dan menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Lee berkata, beliau menyifatkan anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap pembabitannya sebagai seorang aktivis masyarakat sejak 45 tahun lalu.

Menurutnya, beliau menganggap anugerah itu sebagai suntikan semangat kepadanya untuk terus tampil ke hadapan terutama dalam memberi sumbangan kepada masyarakat dan negara.

“Baru-baru ini saya menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Ikatan Komuniti Selamat dengan fokus mendidik lapisan masyarakat tidak kira kaum dan agama supaya lebih prihatin terhadap aspek keselamatan,” katanya yang juga bekas Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH).

Dalam pada itu, katanya, sepanjang menerajui NIOSH, beliau turut terbabit dalam menghasilkan buku panduan keselamatan bagi operasi institusi tahfiz di negara ini.

“Saya anggap perkara (isu keselamatan pusat tahfiz) ini penting kerana ia banyak berkait dengan elemen keselamatan.

“Kita banyak mendengar laporan media mengenai kebakaran di pusat tahfiz dan buku panduan berkenaan penting bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau akan menggerakkan tenaga dan kepakaran dimiliki Ikatan Komuniti Selamat untuk terus memberi kesedaran kepada pengusaha pusat tahfiz di seluruh negara khususnya dalam aspek keselamatan dan kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 5:54 PM