Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: Cadangan pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan dibincangkan tahun depan, bergantung kepada situasi ekonomi.

Justeru, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu tidak disentuh dalam Bajet 2023, yang dibentangkan beliau hari ini.

"Kita tidak mengumumkan GST dalam Bajet. GST akan dibincangkan dalam Kabinet, bergantung kepada ekonomi tahun depan.

"Jadi, pada tahun ini, kita tidak membincangkannya dalam Bajet," katanya pada sidang media di Parlimen.

Tengku Zafrul berkata, berdasarkan hasil negara pada tahun ini, ia mempunyai korelasi yang baik kepada ekonomi, justeru pada tahun depan, pertumbuhan ekonomi dijangka lebih sederhana dan Malaysia akan turut terkesan.

"Sudah tentu pada tahun ini, hasil negara dibantu oleh bayaran dividen yang besar daripada Petronas iaitu RM50 bilion. Tahun depan, kita tidak menjangkakan yang sama, dan sebab itu kita jangkakan kekurangan hasil," katanya.

TENGKU Zafrul ketika membentangkan Bajet 2023. FOTO Jabatan Penerangan
TENGKU Zafrul ketika membentangkan Bajet 2023. FOTO Jabatan Penerangan

Mengenai anggaran jumlah subsidi sebanyak RM55 bilion pada tahun depan, berbanding unjuran RM77.7 bilion pada tahun ini, Tengku Zafrul berkata, banyak faktor yang diambil kira bagi anggaran itu.

"Jika kita mahu menjadikannya mampan dalam jangka masa panjang, ia mestilah lebih bersasar dalam pendekatannya, namun sekali lagi kita akan melihat apa yang akan berlaku pada ekonomi tahun depan.

"Seperti yang diketahui, harga minyak dunia turun seperti yang dijangkakan, berikutan kelembapan ekonomi global. Jadi, harga tenaga menjadi sederhana dan jumlah subsidi juga dijangka lebih rendah kerana harga tenaga lebih rendah.

"Apabila kita memulakan subsidi, harga minyak adalah sekitar AS$120 dan hari ini, harganya di bawah AS$90," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 8:41 PM