Shopee
Shopee

Kuala Lumpur: Shopee menawarkan manfaat sebanyak RM3,000 kepada 60,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menggalakkan rakyat Malaysia membuat pembelian bersama pengguna baharu.

Program Go-eCommerce Onboarding ini adalah inisiatif yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2021 dalam mendorong penggunaan e-dagang sebagai saluran perniagaan dalam kalangan PMKS tempatan dan warganegara Malaysia.

Shopee dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut membiayai inisiatif ini dengan kerjasama bersama Kementerian Kewangan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Dalam pada itu, terdapat dua pakej yang bakal dimanfaatkan oleh penjual sedia ada serta baharu.

"Penjual Shopee sedia ada menerima Baucar Pulangan Tunai Syiling Shopee bernilai RM2,500 untuk kedai di Shopee serta rebat yuran perkhidmatan bernilai sehingga RM500.

"Bagi penjual Shopee baru yang berdaftar sebagai penjual dari 1 Julai 2021 bakal menerima Baucar Pulangan Tunai Syiling Shopee bernilai RM1,500 untuk kedai di Shopee serta rebat yuran perkhidmatan bernilai hingga RM1,500.

"Program ini dijangka membantu mengurangkan kesan daripada pandemik dan mengekalkan aliran tunai bagi mereka melalui jualan menerusi e-dagang" katanya.

Sementara itu, program ini adalah sebahagian daripada inisiatif e-dagang Penjana yang diperkenalkan sebagai Kempen E-dagang Perusahaan Mikro dan PKS tahun lalu.

Program berkenaan berjaya mendigitalkan lebih daripada 40,000 PMKS dan meningkatkan peningkatan penjualan harian PMKS sebanyak 158 peratus bermula Julai hingga September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 7:31 AM