PANDEMIK memberikan kesan yang terbesar kepada PMKS yang lebih kecil.
PANDEMIK memberikan kesan yang terbesar kepada PMKS yang lebih kecil.

Kuala Lumpur: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di peringkat global menerima pukulan teruk daripada pandemik dengan perniagaan mikro mengalami kesukaran secara tidak seimbang, khususnya bagi perniagaan yang tidak menawarkan perkhidmatan dalam talian.

Sehingga 70 peratus daripada PMKS global menyaksikan penurunan jualan dengan dua pertiga melaporkan bahawa perniagaan mereka merosot sebanyak 40 peratus.

Berdasarkan penyelidikan Alibaba.com, platform e-dagang B2B Global, dan AliResearch Institute, dalam laporan Cabaran, Respons dan Transformasi PMKS dalam Era Pascapandemik, ia mendapati perniagaan luar talian PMKS menerima gangguan teruk disebabkan oleh kurangnya permintaan.

"Bagaimanapun, jualan dalam talian mencatatkan lonjakan besar di mana pendigitalan menjadi cara yang berkesan bagi PMKS untuk menjadikan perniagaan mereka kalis risiko," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, kadar kemandirian PMKS ialah tujuh mata lebih tinggi di rantau yang mempunyai penembusan e-dagang paling tinggi berbanding rantau yang mempunyai penembusan e-dagang paling rendah.

"Kajian ini mendapati bahawa, antara semua PMKS, pandemik memberikan kesan yang terbesar kepada PMKS yang lebih kecil.

"Hal ini sememangnya dijangka memandangkan perniagaan yang lebih kecil tidak mempunyai sumber atau infrastruktur untuk berdepan dengan kesukaran penutupan yang berulang-ulang, sekatan tempatan, kekurangan dan isu-isu lain yang disebabkan oleh pandemik.

"Kurang satu perempat daripada PMKS dapat melepaskan diri daripada kesan negatif pandemik, dengan hanya 23.5 peratus daripada mereka tidak mengalami kemerosotan dalam jualan.

"Malah, sebanyak dua pertiga daripada PMKS mendapati perniagaan mereka merosot sebanyak 40 peratus," kata laporan itu.

Sementara itu, Naib Presiden Kumpulan Alibaba, Ketua AliResearch Institute, Hongbin Gao berkata, potensi untuk pengembangan pasaran kekal besar bagi Asia Pasifik.

"Sebagai contoh, pasaran e-dagang serantau berpotensi tinggi Vietnam berkembang sebanyak 24 kali dalam tempoh enam tahun lalu dan dijangka mencecah AS$234 bilion (RM1.04 trilion) menjelang 2025.

"Transformasi digital terbukti menjadi talian hayat kepada sekian banyak PMKS sepanjang berlakunya pandemik, dengan mengurangkan kos, menyediakan akses yang tepat pada masanya kepada maklumat, mengoptimumkan aliran kerja, dan membantu mereka berkembang dalam pasaran baharu," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagaimanapun, laporan itu turut mendedahkan jurang ketara dalam penerapan strategi digital antara perusahaan lebih kecil dengan lebih besar.

"Perusahaan lebih kecil juga didapati mempunyai penggunaan teknologi digital canggih yang lebih rendah dan cenderung untuk mendigitalkan pentadbiran am dan fungsi pemasaran sahaja, sekali gus mengabaikan aspek lain termasuk perancangan sumber perusahaan, pengurusan perhubungan pelanggan dan data raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 7:01 AM