Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan berjumlah RM1,200 kepada golongan pesawah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

"Kerajaan bersetuju untuk memberikan bantuan sementara menunggu padi dituai sebanyak RM200 untuk tiga bulan kali dua musim bermakna enam bulan secara keseluruhan.

"Bantuan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023 yang dijangka diumumkan pada Oktober nanti," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-48 Tahun 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, malam ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Timbalan Menteri Mafi 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Mafi 2 Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh serta Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas Datuk Zamri Yaakob.

Sementara itu, Zamri berkata, Nafas mempunyai beberapa inisiatif antaranya menjadi pembekal utama benih padi dalam memenuhi keperluan pesawah dan menghasilkan benih padi hibrid yang berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 10:59 PM