LOKASI terjejas akibat tanah runtuh di Julau. FOTO Ihsan Bomba
LOKASI terjejas akibat tanah runtuh di Julau. FOTO Ihsan Bomba
Norsyazwani Nasri


Sarikei: Kawasan Nanga Bilat, Jalan Entabai di Nanga Beduie dan Nanga Beleguai di Merurun, Julau di sini, diancam tanah runtuh berikutan hujan lebat sejak kebelakangan ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor Nicholas Belulin berkata, pihaknya melakukan tinjauan selepas menerima panggilan berhubung kes tanah runtuh sekitar 7.23 pagi tadi.

"Tinjauan mendapati di lokasi pertama iaitu, Jalan Entabai, Julau berlaku tanah runtuh pada ketinggian 50 meter dari atas lereng bukit serta menutupi separuh jalan utama anggaran sepanjang 30 meter.

"Sementara di dua lagi lokasi berisiko tanah runtuh iaitu di Nanga Beduie dan Nanga Beleguai, Merurun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hasil pemantauan bersama agensi lain di lokasi, bomba menjangkakan boleh berlaku runtuhan tanah sekiranya hujan lebat berterusan.

"Kami memasang tali sawar-sawar di ketiga-tiga kawasan sebagai amaran kepada penduduk sekitar dan pengguna jalan raya di kawasan terbabit.

"Perkara berkenaan juga sudah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah untuk tindakan lanjut," katanya.

Katanya, Operasi Khas Bencana Alam pemantauan tanah runtuh yang dilakukan tiga anggota BBP Bintangor bersama dua pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau tamat pada 12.42 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 5:21 PM