WEE Ka Siong. FOTO arkib NSTP
WEE Ka Siong. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terkilan apabila pertemuan khas membabitkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sebuah hotel di ibu negara pagi tadi, turut dihadiri pemimpin Pakatan Harapan (PH).

Ka Siong yang juga Pengerusi MCA Johor berkata, beliau menerima notis jemputan menghadiri pertemuan bersama Ahli Parlimen BN itu yang disampaikan Setiausaha Kerja BN, jam 11.23 malam tadi, namun jemputan itu tidak memaklumkan ia turut dihadiri beberapa pemimpin PH.

Katanya, beliau terkilan apabila sebaik saja tiba di lokasi pertemuan diadakan pada jam 10 pagi, pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini.

"Saya menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam mengenai perjumpaan hari ini hanya membabitkan Ahli Parlimen BN.

"Satu sidang media telah diadakan selepas perjumpaan yang hanya membabitkan Ahli Parlimen BN dan puluhan wartawan telah membuat liputan.

"Saya tidak tahu sama ada ia telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan.

"Perlu ditegaskan tiada sebarang perjumpaan khusus di antara Ahli Parlimen BN dan pemimpin PH berlangsung ketika saya berada di Seri Pacific Hotel dari 10 pagi hingga 12 tengah hari," katanya.

Hari ini media melaporkan Presiden Umno merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pimpinan parti mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pakatan Harapan (PN) termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid kemudian mengesahkan 26 Ahli Parlimen daripada 30 yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.

Bagaimanapun, beliau berkata, dua daripadanya tidak dapat menghadiri perjumpaan yang diadakan di Hotel Seri Pacific di sini kerana tidak sihat.

"Kami putuskan ketetapan dan arahan yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN adalah arahan besar yang wajib diikuti semua Ahli Parlimen kerana kita semua bertanding atas tiket BN," katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Ka Siong yang menang kerusi Parlimen Ayer Hitam pada PRU-15 kelmarin berkata, apa yang pasti, beliau hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN saja.

"Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya tidak terbabit dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin PH.

"Apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2022 @ 2:52 PM