SETIAUSAHA sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini direman dua hari. FOTO Izz Laily Hussein
SETIAUSAHA sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini direman dua hari. FOTO Izz Laily Hussein
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Setiausaha sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini direman dua hari selepas disyaki memalsukan dokumen bagi mendapatkan kelulusan bayaran daripada pihak pengurusan, akhir tahun lalu.

Perintah tahanan reman terhadap tertuduh yang berusia 35 tahun itu dikeluarkan Majistret R Salini hari ini selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat ke atas suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengan berpakaian lokap SPRM berwarna jingga serta tangan bergari.

Difahamkan, lelaki berkenaan menyediakan minit ahli lembaga pengarah palsu dengan tujuan mendapatkan kelulusan bayaran dividen dengan kadar yang tinggi, bayaran elaun pengarah dan bayaran insentif kepada setiausaha syarikat dan pegawai akaun bagi pihak syarikat terbabit.

Pada masa sama, suspek juga disyaki mendapatkan tandatangan daripada bekas pengarahnya dengan tujuan mengelirukan pihak pengurusan GLC terbabit supaya permohonan semua bayaran itu diluluskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 11:21 AM