Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Murid tahun enam Sekolah Rendah Islam (SRI) al-Irsyad, Balok di sini, hilang penglihatan secara tiba-tiba sejak tiga minggu lalu.

Uzma Nur Iman Mohd Sufian, 12, berkata, keadaan itu dialaminya ketika berada di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu selepas pulang ke kampung keluarganya ketika cuti Hari Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan itu dialami selepas bangun tidur untuk bersarapan.

Katanya, pandangannya secara tiba-tiba menjadi gelap walaupun sebelum itu mata kirinya masih boleh melihat secara samar-samar.

"Tiba-tiba sahaja saya dapati keadaan menjadi sangat gelap. Saya teraba-raba mencari suis lampu tetapi tidak nampak apa-apa.

Uzma Nur Iman berkata, dia hanya memaklumkan kepada kedua ibu bapanya, Nur Razaihan Abd Halim, 37, dan Mohd Sufian Shahidullah, 37, selepas kedua-duanya kembali daripada urusan di bandar Kuala Terengganu.

"Saya sangat takut waktu itu dan hanya menangis sahaja sambil beristighfar supaya saya boleh melihat semula," katanya ketika ditemui di Klinik Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Indera Mahkota di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, penglihatannya kini beransur pulih walaupun hanya 40 peratus sahaja selepas doktor memberikannya steroid dan IVig (IVIG (intravenous immunoglobulin).

"Doktor memberi tempoh mata saya berkemungkinan akan sembuh seperti biasa dalam tempoh dua bulan tetapi bergantung pada kekuatan badan saya melawan penyakit ini," kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

UZMA Nur Iman hilang penglihatan bersama ibu bapanya ketika menjalani rawatan di Klinik Pakar, UIAM, Indera Mahkota, Kuantan. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani
UZMA Nur Iman hilang penglihatan bersama ibu bapanya ketika menjalani rawatan di Klinik Pakar, UIAM, Indera Mahkota, Kuantan. FOTO Ainal Marhaton Abd Ghani

Sementara itu, Nur Rahaizan berkata, dia tergamam dan kehilangan kata-kata sebaik sahaja anaknya memaklumkan mengenai keadaan matanya itu.

"Semuanya berlaku secara tiba-tiba dalam tempoh lima hari sahaja. Saya tidak menyangka daripada sakit kepala, mata kanannya mulai kabur sedikit demi sedikit dan terus tidak dapat melihat sepenuhnya pada Sabtu, 17 September lalu.

Menurutnya, sebelum Uzma Nur Iman hilang penglihatan sepenuhnya dia mengalami sakit kepala di sebelah pagi selama empat hari berturut-turut bermula 13 September lalu.

"Saya hanya berikan sebiji ubat setiap pagi sebelum ke sekolah dan pada masa sama mengadu mata kanannya mulai kabur.

"Pada 15 September pula, dia mengadu mata sebelah kanannya sudah tidak boleh melihat sepenuhnya, manakala mata kiri mulai kabur dan keadaan semakin serius pada Jumaat.

"Saya terkejut apabila Uzma menangis menyatakan kedua-dua belah matanya langsung tidak nampak apa-apa pada Sabtu itu.

"Saya dan suami terus membawa Uzma ke sebuah hospital swasta di Kuala Terengganu sebelum di rujuk ke Pusat Perubatan KMI Cawangan Kuala Terengganu," katanya.

Menurut Nur Razaihan lagi, memandangkan dia sekeluarga menetap di Balok Makmur di sini, dia dan suaminya mengambil keputusan merujuk kes Uzma Nur Iman di Hospital UIAM.

"Beberapa prosedor seperti ujian imbasan, pengambilan sampel darah dan air tulang belakang dilakukan bagi mengenal pasti puncaya.

"Doktor pakar mata juga mengesahkan saraf mata Uzma mengalami bengkak," katanya.

Nur Razaihan berkata, pakar perubatan mengesahkan Uzma Nur Iman menghidap yelin oligodendrocyte glycoprotein anti disease (MOG) selepas sampel darahnya di hantar ke sebuah makmal perubatan di Kuala Lumpur.

MOG (MOGAD) adalah sejenis penyakit berkaitan keradangan saraf optik yang boleh menyebabkan mata menjadi kabur atau hilang penglihatan sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 4:00 PM