GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Akta Sewaan Kediaman (RTA) perlu diluluskan segera bagi membela nasib pemilik dan penyewa rumah serta mengelak masalah pertikaian berlaku antara kedua-dua pihak.

Pengerusi Pertubuhan Penyewa Kediaman Kebangsaan (NHRA), K Prakash berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu memastikan RTA diberi keutamaan untuk dibentangkan segera pada persidangan Parlimen akan datang.

"Kerajaan hendaklah memastikan negara ini mempunyai undang-undang jelas mengenai sewaan yang boleh menjaga kepentingan pemilik rumah dan penyewa seperti negara maju seperti di Australia, United Kingdom, Jerman dan lain-lain.

"Isu seperti penindasan daripada tuan rumah dan penyewa, keengganan untuk memulangkan wang deposit, menaikkan kadar sewaan dalam tempoh kontrak sewaan, menamatkan tempoh sewaan sesuka hati, merosakkan barangan pemilik rumah, keengganan membayar sewaan dan keluar dari rumah sewaan serta mengubahsuai tanpa kebenaran pemilik rumah boleh diatasi dengan peruntukan undang-undang yang jelas.

"Di sesetengah negara semasa pandemik Covid-19, klausa anti pengusiran di masukkan dalam akta Covid-19 bagi memastikan rakyat yang terjejas pendapatan dan tidak mampu membayar sewaan dalam tempoh berkurung tidak diusir daripada kediaman sewaan mereka.

"Hal ini tidak dapat dilaksanakan di negara ini kerana ketiadaan undang-undang sewaan yang jelas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengambil contoh satu video tular mengenai pertelingkahan antara penyewa dan pemilik rumah di Pasir Mas, Kelantan, September lalu, beliau berkata, kerajaan perlu memandang serius itu dengan meluluskan segera akta itu.

"NHRA mendapati masih banyak lagi kes seperti ini sering kali berlaku tetapi tidak dilaporkan atau ditularkan.

"Sesetengah tuan rumah menaikkan kadar sewa kerana kenaikan kadar faedah pinjaman diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyebabkan kenaikan bayaran ansuran pinjaman perumahan.

"Tuan rumah yang bergantung kepada sewaan rumah untuk membayar ansuran pinjaman perumahan akan bertindak dengan sesuka hati untuk menaikkan kadar sewaan kerana tiada undang-undang yang jelas berkaitan kenaikan kadar sewa dalam tempoh kontrak sewaan.

"Hal ini boleh dielakkan sekiranya negara ini mempunyai undang-undang sewaan kediaman yang jelas untuk menghalang tuan rumah daripada menaikkan sewaan sewenang-wenangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 2:37 PM