PENYELIDIK UMS, DR Annita dan Dr Audrey melepaskan benih ketam bakau di Kota Kinabalu Wetland.
PENYELIDIK UMS, DR Annita dan Dr Audrey melepaskan benih ketam bakau di Kota Kinabalu Wetland.
Suliati Asri


Bagi memulihkan dan mengekalkan populasi ketam bakau di perairan Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan inisiatif pemuliharaan ekosistem marin melalui program pelepasan ketam bakau (Scylla Tranquebarica), baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Dr Mohamad Tamrin Lal berkata, melalui program terbabit UMS menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha memelihara biodiversiti ekosistem pantai di Malaysia serta menyokong kepada pengurusan sumber marin yang lebih mampan.

Menurutnya, program pelepasan ketam bakau yang dimulakan UMS pada 2015 adalah susulan daripada kejayaan pihak Hatceri Krustasia IPMB menjalankan pembenihan ketam bakau.

"Sejak 2018 hingga tahun lalu, 45,000 benih ketam bakau berjaya dilepaskan di Tuaran, Kuala Penyu dan Kota Marudu.

"Manakala pada tahun ini, hampir 3,000 benih sudah dilepaskan di Kota Kinabalu Wetland (Ramsar Site) pada Ogos lalu.

"Aktiviti ini membabitkan pendekatan komprehensif yang menyepadukan penyelidikan saintifik, pembabitan komuniti dan pemantauan jangka panjang," katanya.

Dr Mohamad Tamrin berkata, penyelidik di Hatceri Krustasia IPMB juga berusaha menjalankan penyelidikan lebih meluas bagi mengenal pasti lokasi sesuai untuk pengenalan semula ketam bakau ke habitat asal dengan mengambil kira faktor seperti kualiti air, komposisi sedimen dan ketersediaan sumber makanan semua jadi.

"Dengan memanfaatkan kepakaran sedia ada, penyelidik UMS dapat memastikan benih ketam bakau yang dilepaskan mempunyai peluang terbaik untuk hidup dan berjaya menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu," katanya.

Dr Mohamad Tamrin berkata, penyertaan dan pendidikan masyarakat juga adalah komponen utama program pelepasan benih ketam bakau menerusi kerjasama UMS dengan komuniti tempatan, nelayan dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan ketam bakau yang mampan.

"Menerusi pembabitan masyarakat setempat dalam usaha pemuliharaan, UMS yakin dapat memupuk rasa kebertanggungjawaban di samping menggalakkan komitmen kolektif untuk memelihara ekosistem pantai untuk generasi akan datang," katanya.

IPMB UMS juga dapat membangunkan protokol pemantauan dan penilaian jangka panjang yang membolehkan penilaian keberkesanan dan impak program terhadap populasi ketam bakau tempatan dan persekitaran marin.

"Menerusi kerjasama Kota Kinabalu Wetland (Ramsar Site), UMS juga akan memperhalusi strategi mendalami dinamik populasi dan kesihatan ekosistem ketam bakau di Sabah.

"Program ini akan menjadi model untuk kerjasama yang berkesan antara ahli akademik, pihak badan bukan kerajaan dan komuniti setempat dalam aktiviti pemuliharaan dengan pendekatan holistik dalam melindungi biodiversiti marin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 6:20 AM