DATUK Mohamad Alamin. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
DATUK Mohamad Alamin. FOTO IHSAN JABATAN PENERANGAN
Rafiqah Dahali


Bongawan: Semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh negara diarahkan memberi laporan perkembangan semasa kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkenaan jangkitan Covid-19 membabitkan sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata peningkatan jumlah kluster Covid-19 membabitkan institusi pendidikan khususnya asrama sekolah baru-baru ini mendatangkan kebimbangan kepada pihaknya.

"Mengenai isu peningkatan kluster di sekolah ini, KPM sentiasa memantau dan mendapatkan laporan dari semasa ke semasa daripada semua PPD dan JPN.

"Kita minta semua PPD melaporkan perkembangan setiap masa disamping meminta PPD berhubung rapat dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya ada lagi peningkatan kes (berkaitan kluster di sekolah).

"Kita mahu mengawal keadaan ini sebaik mungkin dan kluster yang timbul ini memang serba sedikit akan menjejaskan namun saya yakin KPM dan KKM akan berusaha mengatasi masalah ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi tinjauan di Program Jualan Keluarga Malaysia bertempat di Dewan Terbuka Bongawan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad turut menjelaskan walaupun prosedur operasi standard (SOP) di asrama dan sesi kelas secara bersemuka yang ditetapkan adalah ketat namun pihaknya akan mengkaji pendekatan terbaik mengatasi masalah terbabit sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 membabitkan sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 12:18 PM