PESERTA Program empowerNCER Baling menyerahkan sumbangan barang keperluan asas kepada wakil rumah Pertubuhan Rumah Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Miskin Nur Hidayah, di Kampung Sadek, Baling, Kedah.
PESERTA Program empowerNCER Baling menyerahkan sumbangan barang keperluan asas kepada wakil rumah Pertubuhan Rumah Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Miskin Nur Hidayah, di Kampung Sadek, Baling, Kedah.
HM Digital

WALAUPUN negara sedang berdepan ancaman penularan jangkitan pandemik Covid-19, kebajikan golongan kurang bernasib baik termasuk anak yatim dan fakir miskin tidak pernah diabaikan.

Malah, dengan keberkatan Ramadan, peserta program empower Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) atau dikenali empowerNCER kendalian Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) turut sama menyumbang menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'Hamparan Kasih Ramadan' yang dianjurkan oleh empowerNCER Baling pada 4 Mei lalu.

Program amal berkenaan dilaksanakan di Rumah Pertubuhan Anak-anak Yatim dan Miskin Nur Hidayah di Kampung Sadek, Kupang di sini dan turut bekerjasama dengan Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM) Daerah Baling.

Program CSR ini hasil sumbangan peserta empowerNCER yang berniaga dan bekerja.

Ini hasil titik peluh peserta itu sendiri yang dikumpulkan dan disumbangkan kepada Pertubuhan Anak Yatim dan Miskin Nur Hidayah di Kupang.

Keperluan barangan asas diberikan kepada pertubuhan berkenaan kebanyakannya disumbangkan oleh peserta empowerNCER di daerah Baling.

Selain itu, seramai 17 anak yatim dan miskin pertubuhan berkenaan turut menerima duit raya supaya dapat berkongsi kegembiraan menyambut Aidilfitri.

Selain duit raya, sumbangan barangan keperluan asas turut disampaikan.

PKSM selaku penyedia latihan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empowerNCER di negeri Kedah dan Perlis sentiasa memastikan semua pihak yang terbabit dalam program berkenaan sentiasa mematuhi segala arahan dan peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

Program empowerNCER diwujudkan khusus untuk membantu golongan B40 seperti penerima Program kasih Ibu Darul Aman (KIDA), Orang Asli, ibu tunggal, pekerja yang diberhentikan kerja, belia dan penganggur yang menetap di Kedah dan Perlis.

Peserta program empowerNCER akan mempelajari kemahiran baharu yang bakal membolehkan mereka bekerja berasaskan kemahiran yang dipelajari atau menjadi usahawan bagi meningkatkan pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 6:32 AM