Suliati Asri

MEMILIKI minat yang mendalam terhadap sesuatu bidang tidak bermakna seseorang itu akhirnya menjadi pakar dalam bidang terbabit.

Tidak juga bermakna tanpa minat, seseorang itu tidak boleh berjaya.

Melihat kepada realiti semasa pula, pelajar harus berpijak di bumi nyata untuk sentiasa berusaha dalam apa juga bidang yang diceburi. Ini kerana tiada yang mustahil untuk dicapai.

Sebelum melangkahkan kaki ke peringkat pengajian tinggi, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu memilih dan menjalani fasa persediaan yang disediakan pelbagai pusat pengajian, sama ada kerajaan mahu pun swasta.

Antaranya pengajian tingkatan enam, matrikulasi, asasi, pra-universiti, diploma dan sijil.

Justeru, sama ada asasi, diploma atau pun bermula daripada peringkat sijil, apa yang penting adalah daya usaha yang tinggi dan sentiasa komited dalam melaksanakan setiap tugasan.

DOA, usaha berterusan dan kesungguhan antara kunci kejayaan seseorang pelajar walaupun pada awalnya tidak mempunyai minat mendalam dalam bidang yang diceburi.
DOA, usaha berterusan dan kesungguhan antara kunci kejayaan seseorang pelajar walaupun pada awalnya tidak mempunyai minat mendalam dalam bidang yang diceburi.

Dalam apa juga bidang atau lapangan yang diceburi, dengan adanya doa dan usaha berterusan, sentiasa berfikiran positif, terbuka, fleksibel, sedia mendepani cabaran dan kreatif, sesiapa pun boleh dan pasti akan berjaya.

Ketua Unit Keusahawanan Kolej Komuniti Batu Pahat, Johor, Faridatuljana Mohd Noor berkata, walaupun bermula dari peringkat sijil, pelajar itu juga boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, tidak dinafikan ada di antara pelajar yang tidak minat dan terpaksa masuk ke kolej komuniti.

Keterpaksaan itu katanya dipengaruhi banyak faktor, termasuklah lokasi kolej komuniti berdekatan dengan rumah dan mungkin juga ibu bapa kurang berkemampuan membayar yuran yang tinggi tetapi mahukan anak mereka berjaya dengan kemahiran yang ada di kolej komuniti.

"Ada ibu bapa yang mampu menghantar anak ke institusi swasta tetapi memilih kolej komuniti.

"Ini kerana mereka percaya bahawa kolej komuniti menyediakan akses meluas kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti serta diiktiraf, sekali gus boleh memberikan kemahiran teknikal selain keusahawanan terbaik untuk anak mereka," katanya.

TIDAK kira apa juga bidang yang dipilih, usaha dan kesungguhan dalam mencari ilmu adalah kunci kejayaan sebenar.
TIDAK kira apa juga bidang yang dipilih, usaha dan kesungguhan dalam mencari ilmu adalah kunci kejayaan sebenar.

Justeru, Faridatuljana berkata, adalah tidak mustahil untuk pelajar yang pada awalnya berasa terpaksa tetapi akhirnya mereka inilah bakal mendapat Anugerah Ketua Pengarah di majlis konvokesyen kelak.

"Lebih membanggakan, ada juga yang menjadi usahawan berjaya atau pun jutawan selaras dengan misi kolej komuniti iaitu melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang," katanya.

Faridatuljana berkata, lepasan sijil kolej komuniti juga boleh menyambung pengajian di peringkat diploma di kolej komuniti atau pun politeknik yang menawarkan kursus yang berkaitan.

Seterusnya, mereka juga boleh menyambung pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

"Walaupun mempunyai minat yang tinggi dalam sesuatu bidang, itu tidak bermakna pelajar itu kelak akan menjadi pakar dalam bidang terbabit. Tidak juga bermakna tanpa minat, kita tidak boleh berjaya.

"Melihat kepada realiti semasa pula, pelajar harus berpijak di bumi nyata untuk sentiasa berusaha dalam apa juga bidang yang ceburi.

"Sama ada memilih asasi, diploma atau pun bermula dari peringkat sijil, apa yang penting adalah usaha yang tinggi dan sentiasa komited dalam melaksanakan setiap tugasan," katanya.

"Doa, usaha yang berterusan, sentiasa berfikiran positif, terbuka, fleksibel dan sentiasa bersedia mendepani apa cabaran juga adalah kunci kejayaan seseorang pelajar tidak kira mereka minat atau tidak sesuatu bidang itu," tambahnya.

Mengulas mengenai kerjaya masa hadapan dikatakan tidak memerlukan pekerja berkemahiran kerana akan diganti dengan automasi dan robot, Faridatuljana berpandangan, walaupun tenaga kerja menggunakan automasi dan robot tetapi kepakaran dan kemahiran daripada manusia tetap diperlukan.

Katanya, yang menjadikan automasi itu berhasil dan robot itu bergerak adalah hasil dari kreativiti manusia juga.

"Di sesetengah industri memang menggunakan automasi dan robot untuk mengangkat atau menyemak sesuatu pekerjaan yang khusus. Contohnya memasang komponen kereta dan mengangkatnya.

"Tetapi, jika automasi atau robot ini rosak, ia masih lagi memerlukan pembetulan dan pemikiran dari manusia kerana manusia yang menciptanya.

"Maka, pekerja berkemahiran masih lagi diperlukan pada masa hadapan di mana kemahiran atau pun kepakaran ini yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan dan menjadikan seseorang itu usahawan di dalam bidang teknologi dan industri," katanya.

Namun, dalam masa yang sama pendidikan keusahawanan perlu diterapkan untuk pelajar lepasan SPM dan dibudayakan supaya ilmu serta kemahiran ini tidak putus dan boleh diaplikasikan pada bila-bila masa.

Ini adalah selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara 2030 (DKN 2030), yang akan melestari keusahawanan untuk segenap lapisan masyarakat sehingga tahun 2030.

Maka, kata Faridatuljana, bagi pelajar lepasan SPM tahun ini, mereka secara langsung atau tidak akan terbabit dan tergolong di dalam kumpulan sasaran yang dinyatakan di dalam dasar ini.

"Automasi atau robot adalah teknologi industri 4.0 yang dinyatakan di dalam DKN 2030. Jadi, pada pandangan saya, mereka perlu diterapkan dengan ilmu automasi dan robot.

"Ini boleh dilakukan dengan menyediakan satu model pendidikan keusahawanan yang lebih terkait dengan teknologi semasa dan perlu adanya tenaga pengajar lebih bermotivasi dalam ilmu teknologi industri 4.0," katanya.

Perkembangan industri dan keusahawanan ini dapat dilihat dengan jelas.

Justeru, Faridatuljana berkata, perkaitan antara teknologi dan keusahawanan ialah pelajar perlu mempersiapkan diri atau mencari ilmu lanjut berkaitan automasi serta robot.

"Pada akhirnya, ilmu itu akan membantu mereka menjana pendapatan selaras dengan dasar DKN 2030 iaitu membentuk masyarakat Malaysia yang berpemikiran dan berbudaya keusahawanan di samping adanya usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif," terangnya.

Faridatuljana berkata, kita tidak lagi boleh memilih apa yang disukai atau diminati untuk lakukan tetapi mesti melakukan apa yang sudah dipilih seiring dengan keperluan semasa.

KEPAKARAN dan kemahiran daripada manusia tetap diperlukan sampai bila-bila.
KEPAKARAN dan kemahiran daripada manusia tetap diperlukan sampai bila-bila.

"Tiada jalan singkat untuk berjaya, tiada jalan pintas untuk bahagia. Semua memerlukan usaha dan doa yang berterusan.

"Percaya kepada diri sendiri dan letakkan motivasi bahawa 'saya boleh berjaya.'

"Lihat dan ambil contoh bagaimana individu atau usahawan yang bermula dari 'zero' boleh berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

"Sifat sedar dan kesedaran atau sensitif dengan keperluan semasa juga perlu disemat agar tidak ketinggalan ataupun terlepas peluang yang ada," katanya.

Sementara itu, Pensyarah dan Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan, Dr. Nor Hazrul Mohd Salleh berpendapat lulusan bidang agama tetap kekal relevan pada masa hadapan, biar pun dengan cabaran era digitalisasi dan teknologi maklumat.

Katanya, apabila dunia semakin terbuka, elemen pendidikan agama akan berperanan sebagai pengimbang.

"Ini akan menjamin kehidupan masyarakat pada abad ke-21 ini tidak tersasar daripada tujuan sebenar pendidikan dan kehidupan secara am.

"Justeru, pengajian asasi aliran agama bukan hanya menjadi salah satu pilihan kepada pelajar lepasan SPM berdasarkan minat atau aliran semasa di sekolah, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia adalah keperluan dalam menjamin kemakmuran dan kemajuan negara di dunia dan akhirat.

Dr. Nor Hazrul berkata, bagi pelajar yang bersekolah menengah dalam aliran agama atau mempunyai minat untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang agama di universiti, mengikuti pengajian peringkat asasi terlebih dahulu adalah perlu.

"Ini kerana pelajar perlu mempunyai asas yang kukuh sebelum meneruskan pengajian terutamanya tahap penguasaan bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

"Pendedahan yang lebih mendalam di peringkat asasi ini akan menjadikan pelajar lebih bersedia untuk mengikuti bidang pengajian syariah, usuluddin atau pendidikan Islam di universiti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 7:00 AM