LIMA pemancing terapung selama tiga jam di laut selepas bot karam sebelum diselamatkan.  FOTO Ihsan Maritim Malaysia
LIMA pemancing terapung selama tiga jam di laut selepas bot karam sebelum diselamatkan. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Togi Marzuki

am@ metro.com.my

Pontian: Lima pemancing warga Indonesia berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki karam dipukul ombak di perairan Tanjung Balai, Karimun Indonesia.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, lima pemancing lelaki warga Indonesia berusia 21 hingga 48 tahun dipercayai keluar memancing sekitar 11 malam kelmarin di Beting 9 sekitar perairan Tanjung Balai Karimun, Indonesia.

Katanya, dalam kejadian 12.30 tengah malam, bot kayu yang dinaiki mereka dipukul ombak besar sebelum pecah dan karam.

"Akibat kejadian itu kesemua pemancing berpaut pada pelbagai objek termasuk tong minyak bagi menyelamatkan diri dan hanyut selama tiga jam sehingga memasuki perairan Malaysia.

"Bagaimanapun kesemua mereka diselamatkan kru kapal dagang. Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru ke lokasi berkenaan untuk mengambil mangsa, " katanya dalam kenyataannya hari ini.

Katanya, semua mangsa yang terselamat dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Johor untuk diambil keterangan bagi proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 4:52 PM