LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: "Anak lelaki saya seorang yang ceria dan suka bergurau sementara adiknya pula pendiam dan lebih suka bermain sendiri namun selepas kejadian ini sudah tentu mereka trauma," kata ibu kepada dua beradik yang diselamatkan selepas dipercayai didera ibu dan bapa saudara di sebuah kondominium di Taman Cahaya, di sini.

Wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Syafiqah berkata, dia amat merindukan anak-anaknya dan tidak sabar untuk bertemu mereka dan ingin menjaga mereka semula.

"Ibu mana yang tidak rindu dan sayangkan anaknya dan dakwaan mengatakan saya tidak mahu menjaga mereka adalah tidak benar.

"InsyaAllah dalam masa terdekat ini saya bersama abang akan ke sana dari Sabah untuk bertemu dengan anak-anak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Syafiqah berkata, buat masa ini dia menunggu polis menjalankan siasatan terlebih dulu dan jika dibenarkan, dia akan membawa anaknya pulang ke Kota Kinabalu, Sabah.

"Saya juga sangat berterima kasih dan bersyukur kerana penduduk di situ menyelamatkan anak saya dan mengambil berat apa yang berlaku di kawasan perumahan mereka," katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan dua beradik menjadi mangsa dera oleh ibu saudara dan suaminya di sebuah kondominium di Taman Cahaya.

Perbuatan mereka terbongkar selepas kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu cuba terjun dari tingkat empat kondominium itu ketika cuba melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 3:44 PM