Muhammad Helmi ketika sesi taklimat pada Program Agensi-agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bersama Media di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) hari ini. FOTO BERNAMA
Muhammad Helmi ketika sesi taklimat pada Program Agensi-agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bersama Media di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) hari ini. FOTO BERNAMA
Nor Azizah Mokhtar


Puchong: Lebih banyak ribut petir dan cuaca buruk berskala kecil diramal berlaku pada fasa peralihan ke Monsun Timur Laut (MTL) dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata pihaknya meramalkan MTL bermula awal November ini hingga Mac depan.

Menurutnya akan berlaku perubahan cuaca pada skala besar disebabkan luruan monsun yang boleh menyebabkan hujan dan mempengaruhi cuaca di beberapa negeri.

"Untuk kejadian ribut petir berskala kecil, kita boleh pantau dalam tempoh singkat sebelum ia berlaku tetapi pada MTL ini memang kita boleh jangka lebih awal antara dua tiga bulan.

"Namun ramalan untuk berlaku hujan lebat berterusan dalam fasa MTL yang dijangka bermula November ini, kita tidak tahu lagi berapa banyak episod hujan lebat berterusan (yang menyebabkan berlaku banjir besar). Pada tahun lalu terdapat enam episod," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Taklimat Agensi-Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bersama Media anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Dewan Wawasan Markas (SMART) di sini, hari ini.

Tambah beliau, wujud laporan media mengatakan banjir besar akan berlaku pada hujung November ini adalah tidak tepat kerana pihaknya tidak dapat menjangkakan bilakah boleh berlakunya situasi seumpama itu.

"Tetapi dalam tempah November hingga Mac itu, kita jangka ada empat hingga enam episod, tetapi bila (hujan lebat) akan berlaku, kita hanya boleh keluarkan ramalan dan amaran seawal satu hingga tiga hari sebelum ia berlaku.

"Setakat ini kita atau mana-mana negara pun tidak mempunyai kaedah saintifik yang boleh meramalkan berbulan lebih awal sebelum kejadian, cuma kita tidak menolak kemungkinan berlaku episod hujan lebat yang signifikan cuma kita tidak tahu bila, berapa besar, lokasi yang akan teruk terjejas," katanya.

Jelas beliau, MetMalaysia menjangkakan taburan hujan sepanjang MTL hampir sama seperti tahun lalu berdasarkan fenomena global yang mempengaruhi, contohnya fenomena La Nina yang dijangka berlaku sehingga hujung tahun ini serta beberapa fenomena (cuaca) berskala besar lain yang mempengaruhi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 4:46 PM