JBPM Terengganu sedia hadapi banjir gelombang keenam. FOTO NSTP
JBPM Terengganu sedia hadapi banjir gelombang keenam. FOTO NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bersedia menghadapi banjir gelombang keenam yang mungkin berlaku susulan monsun timur laut (MTL) dijangka hanya berakhir pada Mac ini.

Pengarah JBPM Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan akan berlaku lagi gelombang banjir memandangkan MTL dijangka berlarutan sehingga Mac.

Beliau berkata, walaupun keadaan cuaca ketika ini baik, hujan lebat boleh berlaku pada bila-bila masa kerana kita masih dalam tempoh MTL.

"Kita tidak boleh jangka bila ia akan berlaku, namun berdoa tiada lagi hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan banjir.

"Namun, sebagai agensi terbabit dalam operasi pemindahan mangsa banjir, kita sentiasa bersiap sedia dan penduduk dinasihatkan untuk berjaga-jaga serta peka dengan ramalan cuaca semasa.

"Daripada segi kekuatan, kita ada 831 pegawai dan anggota dengan pelbagai aset seperti 27 bot, 17 lori, tujuh kenderaan pacuan empat roda dan 1,044 unit jaket keselamatan bagi melancarkan operasi pemindahan mangsa banjir," katanya.

Untuk rekod, Terengganu mula dilanda banjir pada 17 November tahun lalu disusuli empat lagi episod banjir dengan banjir gelombang kelima bermula pada 3 hingga 11 Januari lalu.

Menerusi banjir gelombang kelima itu, hampir 14,000 orang terjejas dengan daerah Kemaman merekodkan jumlah mangsa teramai.

Dalam pada itu, Md Hilman berkata, jumlah kes kebakaran di negeri ini menurun sehingga 35 peratus pada tahun lalu.

Beliau berkata, sebelum ini, kebakaran hutan menyumbang kepada peningkatan statistik kes, namun tahun lalu, ia menunjukkan penurunan ketara.

Menurutnya, bagi kes membabitkan kebakaran rumah pula, sebanyak 103 kes direkodkan tahun lalu dan sepanjang tahun ini, lima kes kebakaran rumah direkodkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 4:43 PM