Ir Mohamed Ghous (kiri) dan Yeoh Su Guan (kanan) menunjukkan dokumen selepas menandatangani MoU menyediakan gentian optik. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Ir Mohamed Ghous (kiri) dan Yeoh Su Guan (kanan) menunjukkan dokumen selepas menandatangani MoU menyediakan gentian optik. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Allo Technology Sdn Bhd. (Allo) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kedah/Perlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menyediakan gentian optik untuk projek hartanah baharu di Kedah serta Perlis.

Kerjasama selama dua tahun itu sekali gus bakal melengkapkan projek hartanah baharu terpilih daripada ahli Rehda Kedah/Perlis dengan infrastruktur jalur lebar gentian optik Allo.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Allo Ir Mohamed Ghous Ahmad dan Pengerusi Rehda Kedah/Perlis Yeoh Su Guan di sini, disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam negeri Dr Robert Ling Kui Ee.

Mohamed Ghous berkata, kerjasama itu memberi peluang kepada ahli-ahli Riehda Kedah/Perlis untuk tampil dengan penawaran jualan unik bagi projek hartanah yang dibangunkan serta meluaskan penawaran solusi kesalinghubungan oleh Allo.

"Ia akan memberi nilai tambah kepada projek hartanah yang dilaksanakan Rehda dan pembeli hartanah kini tidak lagi perlu menunggu infrastruktur jalur lebar disediakan di kawasan mereka kerana mereka akan menerima 'vacant possession' (harta milik kosong) yang telah tersedia dengan infrastruktur jalur lebar.

"Kerjasama ini selaras dengan saranan kerajaan yang mahukan capaian Internet untuk menjadi utiliti ketiga di setiap rumah. Seruan itu adalah dengan melaksanakan sinergi antara pihak pemaju perumahan dan syarikat telekomunikasi agar matlamat yang digariskan dalam inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) dapat direalisasikan," katanya pada majlis MoU berkenaan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Ghous berkata, bagi Kedah, Allo melengkapkan lebih 33,000 kediaman di kawasan termasuk Mergong, Aman Jaya, Kuala Ketil, Sungai Petani dan Kulim.

"Tumpuan kerjasama ini juga membolehkan lebih ramai penduduk memiliki jalur lebar di rumah mereka, terutama dalam kalangan keluarga kategori B40 bagi merapatkan jurang digital dalam masyarakat," katanya.

Sementara itu, Su Guan berkata, kerjasama strategik antara Rehda dan Allo penting bagi membolehkan penawaran hartanah menarik yang lengkap.

"Bila ada perumahan, mesti perlu ada talian jalur lebar kerana perkembangan teknologi telah mengubah cara komunikasi dan gaya hidup masyarakat yang memerlukan capaian Internet dalam menjalankan aktiviti harian seperti perbankan, pendidikan dan pekerjaan.

"Jadi, dengan MoU ini, ia dapat memberi kemudahan kepada mereka yang sedang mencari rumah," katanya.

Dalam pada itu, Dr Robert berkata, kerajaan negeri menyambut baik kerjasama antara kedua-dua pihak itu kerana ia dilihat dapat membantu mengatasi isu berkaitan masalah capaian jalur lebar di sesetengah kawasan selain dapat memberi pilihan kepada pengguna untuk memilih perkhidmatan yang lebih baik.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 2:46 PM