Laporan terdahulu.
Laporan terdahulu.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah helikopter jenis Eurocopter EC120B hilang selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) tengah hari tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chester Voo berkata, helikopter kendalian Heli Outpost Sdn Bhd itu gagal dihubungi selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

"Sistem radar di KLATCC merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit.

"Pegawai KLATCC cuba menghubungi juruterbang itu namun tiada panggilan kecemasan dibuat. Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang daripada satu minit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter berkenaan.

Menurutnya, helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

Terdahulu, media melaporkan, helikopter berkenaan dilaporkan hilang selepas terputus hubungan dengan KLATCC pada 12.16 tengah hari.

Helikopter syarikat swasta dengan seorang juruterbang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11.37 pagi dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh pada 12.37 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 6:28 PM