GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Sibu: Seorang pekerja wanita warga Indonesia rentung apabila bilik didiaminya di sebuah blok rumah pekerja di kilang papan lapis di Jalan Kemena, Bintulu, kira-kira 200 kilometer dari sini, terbakar awal pagi hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, ketika kejadian, hanya wanita berusia 24 tahun itu berada di bilik berkenaan manakala dua rakan sebiliknya sedang bekerja.

Beliau berkata, 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian sejurus bomba menerima panggilan kebakaran pada 2.59 pagi.

"Kebakaran hanya membabitkan sebuah bilik nombor lima (daripada tujuh pintu) dan terbakar 100 peratus. Kebakaran berjaya dikawal pada 3.20 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 5.30 pagi," katanya dalam kenyataan.

Menurut jurucakap itu, mayat wanita itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 8:39 AM