DR Adham menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama Pertandingan Projek Penyelidikan Inovasi Nano Teknologi Peringkat Kebangsaan 2022, Wan Nazihah Liyana Wan Jusoh. FOTO Aizuddin Saad.
DR Adham menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama Pertandingan Projek Penyelidikan Inovasi Nano Teknologi Peringkat Kebangsaan 2022, Wan Nazihah Liyana Wan Jusoh. FOTO Aizuddin Saad.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Bangi: Industri nanoteknologi Asia Pasifik mampu mencapai unjuran pendapatan signifikan mencecah AS$ 2.6 trilion (kira-kira RM11.6 trilion) menjelang 2025.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sudah tiba masanya Kumpulan Industri Nanoteknologi Malaysia (MNIG) ditubuhkan bagi menghimpunkan pemain industri nano.

Beliau berkata, penubuhan MNIG mampu mengurangkan jurang ekosistem nanoteknologi negara.

"MNIG disasarkan untuk menjadi pelantar terbaik ke arah pembabitan lebih banyak industri terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pemain ekosistem inovasi tempatan.

"Industri ini juga mampu menembusi pasaran antarabangsa dengan produk inovatif yang bernilai tinggi," katanya ketika ditemui dalam Majlis Penutupan Program Nanoteknologi Kebangsaan (NanoKEB) 2022 di sini, hari ini.

Dr Adham berkata, ekonomi negara dapat dipacu melalui teknologi dan produk nano tempatan sekali gus mencapai nilai pasaran di peringkat global dan Asia Pasifik.

Katanya, ia juga berpotensi menjadikan Malaysia sebagai pengeksport utama produk berasaskan teknologi tinggi di peringkat ASEAN.

"Sumbangan PKS dalam industri nanoteknologi berpotensi tinggi kepada ekonomi negara, membabitkan lebih 900 produk nano di pasaran Malaysia bernilai RM381.8 juta pada 2020.

"Nilai jualan tahunan produk nano tempatan yang sudah mendapat pensijilan NanoVerify meningkat kepada RM441.9 juta dan diunjurkan terus meningkat kepada RM490.1 juta pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata, pelbagai faedah sosio ekonomi akan dinikmati Keluarga Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang seperti yang disasarkan menerusi Pelan Hala Tuju Teknologi dan Produk Nano Negara 2021-2025.

Tambahnya, ini termasuk penciptaan lebih 30,000 peluang pekerjaan baharu terutama yang berkemahiran tinggi, penghasilan lebih 50 usahawan nano dan potensi sumbangan lebih RM150 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 11:11 PM