PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia bersedia untuk kembali sebagai hab pelaburan bagi pelabur serantau dan antarabangsa didorong dengan persekitaran kondusif yang disediakan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu juga dapat dicapai melalui kerjasama berterusan dengan setiap anggota Keluarga Malaysia, gelembung selamat untuk semua perniagaan termasuk norma baharu yang diterapkan sehingga kini.

Katanya, keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan sosial pelbagai strata juga memberi peluang kepada pelabur.

"Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut menggariskan sembilan bidang fokus dalam memperkasakan pelaburan Malaysia antaranya merancakkan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan pemacu ekonomi, meningkatkan keselamatan sosial, membasmi kemiskinan tegar dan mengurangkan jurang pendapatan di seluruh negara.

"Justeru, lebih banyak produk dan perkhidmatan berpotensi untuk dipasarkan di negara ini dan Malaysia juga menyediakan persekitaran paling kondusif untuk komuniti perniagaan untuk melabur, yang mana negara ini adalah pintu masuk ke pasaran Asean melalui Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

"Sebanyak 15 negara dalam RCEP saja menjana hampir 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan dianggarkan bahawa keseluruhan pendapatan KDNK negara berkenaan akan meningkat sebanyak AS$174 bilion menjelang 2030.

"Ini akan menyediakan syarikat dan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) kita kesaksamaan tahap penyertaan untuk bersaing sambil memudahkan akses ke pasaran serantau yang lebih besar," katanya di majlis Invest Malaysia 2021 Siri Maya 1-Pembaharuan Ekonomi dianjurkan Bursa Malaysia Bhd bersama Maybank secara maya, hari ini.

Ismail berkata, Malaysia kekal aktif sebagai pemain utama dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTTPA).

Beliau berkata, kerjasama ekonomi antarabangsa itu memberikan lebih 500 juta penyertaan dengan gabungan KDNK AS$10 trilion.

Sementara itu, beliau berkata, komponen penting masa depan negara terletak pada Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Revolusi Industri Keempat Nasional (4IR).

Menurutnya, kedua-duanya selaras dengan Dasar Nasional Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021-2030 yang bertujuan membangunkan Malaysia sebagai negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Dalam mencapai sasaran terbabit, beliau berkata, kerajaan sudah mengenal pasti strategi penting dalam reformasi ekonomi yang dirancang untuk meningkatkan pemulihan ekonomi dan daya saing negara yang memungkinkan penyertaan lebih luas dari pelabur serantau dan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Oktober 2021 @ 11:10 AM